Saturday, March 12, 2011

Rahsia Besar Untuk Cemerlang Matematik


Semangat Baru Dan Projek Besar Awal Tahun 1972

Kerja buruh ladang di Felda Jengka 7
Tiga bulan menunggu keputusan SPM rasanya sangat lama. Saya sudah merasa jemu menoreh getah. Setiap kali cuti sejak tingkatan satu lagi saya melaksanakan kerja menoreh getah. Apabila pulang sahaja dari asrama ayah telah menyediakan pahat getah yang telah siap diasah. Teringin rasanya mahu buat kerja lain pula. Pada pertengahan Disember 1971 saya dan Lihi mengikut rakan sekampung namanya Mat Sarit bekerja ke Felda Jengka 7. Felda itu memerlukan ramai tenaga buruh. Untuk sampai ke tempat kerja itu kami terpaksa berjalan kaki merentas hutan, ikut jalan balak sejauh tujuh kilometer. Kami tinggal di rumah kongsi yang menempatkan 50 orang pekerja. Tugas saya ialah membersihkan rumput yang menjalar di pangkal pokok getah yang berusia tiga tahun itu. Masuk kerja pukul 6.30 pagi dan habis pukul 2.30 petang. Itu dikira satu kong dan upahnya $2.10 sehari. Kadar itu hanya separuh daripada kadar upah untuk orang dewasa. Waktu itu masih musim tengkujuh jadi keraplah saya tidak pergi kerja. Duit upah yang diperolehi tidak berapa cukup untuk menampung keperluan makan. Saya dan Lihi mengambil keputusan untuk pulang ke kampung. Mat Sarit masih setia dengan pekerjaan itu sebab dia dapat upah kadar orang dewasa.
Bantu ayah bertukang rumah di Chenor
Selepas beberapa hari berehat di rumah saya mendapat kerja baru. Saya membantu ayah membina rumah projek pemulihan mangsa banjir di Kampung Baru Chenor. Ayah saya memang tukang kayu terbilang di kampung. Saya juga suka buat kerja bertukang kayu ini. Agaknya, “ Ke mana lagi kuah kalau tidak tumpah ke nasi.” Tugas saya sangat mencabar. Saya dikehendaki memilih papan yang sesuai untuk dijadikan lantai rumah. Mula-mula ukur dan potong menggunakan gergaji. Seterusnya memasangnya ke gelegar dan merapatkan antara satu sama lain menggunakan jet pengapit supaya lantai kelihatan bercantum rapat. Saya juga dikehendaki memasang tingkap supaya melekat pada kerangkanya. Memasang tingkap sangat sukar. Ensel mestilah dipasang tepat kalau tidak tingkap nampak senget dan tidak boleh ditutup. Saya teringat kembali pengalaman belajar Seni Pertukangan semasa di SMK Chenor dahulu. Cikgu yang mengajar ialah cikgu Abdullah semasa tingkatan satu, Cikgu Chan semasa tingkatan dua dan cikgu Wong semasa di tingkatan tiga. Ilmu yang saya perolehi dahulu sangat membantu saya menjalankan tugas sekarang ini. Ada dua orang lagi pembantu ayah iaitu Pak Andak Said dan Mat Pilus. Mat Pilus lebih tua satu tahun daripada saya. Hobinya ialah mendengar radio terutama pop 60 an dan Hindustan.

Dengar temuramah radio
Mat Pilus membawa radio ke tempat kerja. Dia selalu memasang radio ketika ada rancangan lagu pop. Waktu itu pop ye ye memang tengah hangat. Apa lagi saya tumpang semangkuklah. Sebenarnya masa di sekolah rendah saya memang suka menyanyi dan menghafal lagu-lagu. Saya menulis seni kata lagu itu dalam sebuah buku khas. Tepat jam 12.30 tengah hari kami berhenti kerja. Ketika itu perut sudah terasa lapar. Kami berempat membuka bekal dan makan bersama-sama. Yang seronoknya boleh rasa lauk orang lain juga. Pak Andak Said selalu membawa gulai ikan masak lemak cili padi. Pandai betul Mak Ngah Siah memasak, kena sangat dengan selera saya. Mat Pilus pula membawa lauk ikan puyu, haruan dan keli goreng. Kawan saya ini memang jaguh menyerkap ikan di paya, banyaklah ikan paya yang ditangkapnya. Sambil makan Mat Pilus memasang radionya. Tiba-tiba saya terdengar temu ramah radio dengan seorang pelajar cemerlang STP 1971. Pelajar cemerlang itu memperolehi prinsipal A dalam mata pelajaran Matematik Tulen, Matematik Gunaan, Fizik dan prinsipal B dalam mata pelajaran Kimia. Pelajar yang menempa kejayaan itu ialah Muhamad bin Awang Lah ( selepas ini saya panggil MAL sahaja). Beliau adalah pelajar Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur. Mat Pilus terus menerpa ke arah radio untuk menukar stesen. Saya tahu dia tidak suka rancangan itu. Saya memohon jasa baiknya supaya tidak mengubah stesen kerana saya hendak mendengar temuramah itu. Dia akur dengan rayuan saya itu. Mujurlah lembut hati kawan saya ini. Walau pun telah berpuluh tahun berlalu tetapi saya masih lagi ingat semua temu ramah itu. Berikut adalah sedutan temuramah antara seorang pemberita RTM dengan MAL.

Pemberita RTM,
“Pertama sekali saya mengucapkan tahniah di atas kejayaan cemerlang saudara kerana berjaya memperolehi 3 prinsipal A dalam mata pelajaran Matematik Tulen, Matematik Gunaan, Fizik dan prinsipal B dalam mata pelajaran Kimia. Nampaknya saudara muncul sebagai salah seorang pelajar terbaik Malaysia tahun 1971. Kami semua sangat berbangga dengan kejayaan ini.”

MAL,
“Terima kasih, ini adalah berkat usaha saya yang berterusan serta bimbingan guru.”

Pemberita RTM,
“Mari kita khususkan perbualan kita kepada kejayaan mencapai keputusan prinsipal A dalam mata pelajaran Matematik Tulen dan Matematik Gunaan. Memang ini sungguh luar biasa. Umum mengatakan Matematik adalah pelajaran yang sangat sukar. Bagaimana saudara melaksanakannya?”
MAL,
“Matematik tidak sukar malah sangat menyeronokkan. Saya sentiasa belajar dahulu sebelum cikgu mengajar. Bukan Matematik sahaja malah subjek lain yang mencabar. Saya amalkan ini sejak dari tingkatan dua lagi”.

Pemberita RTM,
“Wah ini memang luar biasa, boleh ye belajar Matematik sendiri? Cuba terangkan apakah strategi yang saudara lakukan?”

MAL,
“Pertama sekali saya beli buku teks Matematik tingkatan dua semasa cuti panjang di akhir tingkatan satu. Sebelum naik tingkatan dua saya sudah ada buku teks Matematik tingkatan dua. Saya memulakan usaha semasa cuti panjang akhir tahun. Biasanya cuti akhir tahun tidak kurang daripada enam minggu. Terlalu banyak masa terbuang jika kita tidak memanfaatkannya. Masa itulah saya mula belajar Matematik tingkatan dua. Saya memulakan dengan topik pertama, katakan Asas Algebra. Setiap topik baru memang dimulakan dengan penjelasan konsep, contoh soalan dan pembuktian formula. Contoh soalan itu pula disusun dari aras kesukaran yang senang hingga ke paling mencabar. Begitu juga soalan latihan disusun dari senang hingga paling sukar. Kadang-kadang sangat sukar memahami konsep itu. Namun begitu saya cuba telitikan contoh penyelesaian soalan. Dari situlah saya mula memahaminya. Selepas itu saya cuba jawab soalan yang sebentuk dengan contoh soalan. Lepas itu buka muka belakang untuk membandingkan jawapan. Bukan main seronok jika jawapannya sama. Jika berbeza saya semak kembali langkah-langkah penyelesaian. Jika masih gagal juga, saya simpan dahulu soalan itu dan akan cuba lagi beberapa hari akan datang. Saya cuba soalan lain pula. Selang beberapa hari kembali semula kepada soalan tersebut. Kebiasaannya saya berjaya menyelesaikannya pada cubaan yang kedua. Biasanya idea datang selepas saya berehat sebentar. Biasanya saya mendahului sekurang-kurangnya tiga bab di hadapan daripada tajuk yang diajar oleh guru di dalam kelas.”

Pemberita RTM,
“Masa cikgu mengajar dalam kelas saudara buat apa?”

MAL,
“Saya beri tumpuan kepada pengajaran guru. Apa yang saya tahu itu sedikit sahaja. Pengetahuan asas yang saya perolehi melalui persediaan awal itu memudahkan pemahaman semasa guru mengajar. Kebiasaannya saya cepat faham jika dibandingkan dengan rakan-rakan yang lain. Selalu juga guru Matematik saya menyuruh saya menyelesaikannya di papan hitam atau membantu rakan-rakan lain. Saya anggap kerja itu dapat mengukuhkan lagi pemahaman Matematik saya. Seronok bila guru suruh menjawab di hadapan kelas. Tambah seronok lagi bila medapat pujian daripada rakan-rakan.”

Pemberita RTM,
“Tidak jemu ke menjawab terlalu banyak soalan?”

MAL,
“Kalau kita dah tetapkan bahawa kecemerlangan yang kita hendak cari, apa sahaja halangan mesti diatasi. Menjawab soalan itu kena pilih juga. Mestilah bermula dengan yang senang diikuti sederhana dan seterusnya yang lebih mencabar dan akhir sekali soalan peperiksaan. Saya cuba jawab soalan yang ada kod ( C ) , ( O ) dan ( L ). Soalan ini telah dibina oleh Universiti Cambridge, Oxford dan London untuk peperiksaan GCE A-level bagi negara Commonwealth. Kalau dapat jawab soalan-soalan itu kira OK lah.”

Pemberita RTM,
“Saya dengar banyak formula kena hafal. Betul ke?”


MAL,
“Formula Matematik sangat banyak, saya tidak pernah cuba menghafal formula tersebut. Sebenarnya buku formula dibekalkan semasa peperiksaan. Kebanyakan formula itu saya faham bagaimana ia diterbitkan atau dibuktikan. Saya tahu nak guna formula mana apabila berhadapan dengan soalan-soalan. Apabila dah banyak buat latihan, formula akan datang secara automatik.”

Pemberita RTM,
“Berapa jam sehari saudara buat latihan Matematik?”

MAL,
“Satu setengah hingga dua jam sehari termasuk hari cuti. Saya memang ada jadual belajar harian. Saya patuh kepada jadual belajar itu.”

Pemberita RTM,
“Hebat, adakah saudara yakin orang lain boleh lakukan?”

MAL,
“Mengapa tidak, siapa sahaja boleh, anak petani, anak taukeh, anak nelayan, yang penting kemahuan.”

Pemberita RTM,
“Apa pesanan saudara kepada pelajar yang ingin memajukan diri dalam pelajaran Matematik ini.”

MAL,
“Yang paling mustahak sekali ialah penguasaan asas Matematik seperti kecekapan algebra. Yang itu mesti diatasi dahulu sekali. Seterusnya mesti kuasai semua tajuk dalam Matematik Tambahan.”

Sebaik sahaja tamat temu ramah itu baru saya teringatkan rakan saya Mat Pilus. Di mana dia? Puas saya memerhati ke kiri dan ke kanan. Rupanya dia sedang tersandar pada sebantang tiang rumah di hujung sana. Rupanya dia sudah terlena.

Saya tercabar untuk mengikuti jejak langkah MAL.
Hari ini adalah hari paling berharga buat diri saya. Dapat dengar cerita orang berjaya dalam pelajaran. Terima kasih Mat Pilus kerana memberi saya peluang untuk mendengar saluran itu dan terima kasih RTM kerana menyiarkan temuramah dengan MAL. Mendengar cerita MAL itu saya rasa terpanggil untuk melaksanakannya juga. Saya mendapat semangat baru untuk menempa kejayaan seperti MAL juga. Memang dia sudah buktikan, saya percaya saya juga ada kebolehan. Usaha gigih yang berterusan serta mendahului pengajaran guru adalah ramuan utama kejayaan MAL dalam mata pelajaran Matematik. Saya kagum dengan kegigihannya. Hati saya berkata,

“ Aku juga mahu cemerlang, mesti cuba dapatkan prinsipal A dalam mata pelajaran Matematik STP yang akan aku duduki pada tahun 1973 nanti.”

Semangat saya untuk belajar berkobar-kobar. Teringin benar rasanya naik tingkatan enam rendah sains, tapi masa itu keputusan SPM belum keluar lagi. Keputusan SPM dijangka akan keluar hujung bulan Mac ini. Waktu itu tiada kelas Matrikulasi macam sekarang ini. Pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke universiti dalam bidang sains mesti melalui kelas tingkatan enam sains selama satu setengah tahun dan lulus STP.

Selepas beberapa hari merenungkan kata-kata MAL itu saya membuat ketetapan berani seperti berikut:

1. Saya percaya akan kata-kata MAL.
2. Saya akan laksanakan seperti MAL telah laksanakan.
3. Saya mahukan kecemerlangan dalam mata pelajaran Matematik dan subjek lain dalam peperiksaan STP kelak.
4. Saya mesti belajar lagi tajuk-tajuk Matematik Tambahan tingkatan 5 yang masih belum faham.
5. Saya mahu beli buku teks Matematik STP.
6. Saya mahu belajar dahulu sebelum cikgu mengajar.
7. Saya mahu jawab soalan Matematik tidak kurang dua jam sehari.

Ketetapan di atas itu saya namakan JEJAK MAL.
Saya berjanji kepada diri saya sendiri ;

“Aku seorang remaja yang berani dan sanggup merempuh segala cabaran. Aku tidak ada cacat celanya. Aku memiliki fikiran yang berani. Aku tidak mahu membuang masa. Aku akan gunakan semua kekuatan minda dan tenaga”.

Pada penghujung Mac 1972 keputusan SPM 1971 diumumkan. Saya bersyukur kerana dapat C3 dalam mata pelajaran Matematik dan C6 bagi mata pelajaran Matematik Tambahan. Saya tetap ingat kepada jasa cikgu Kamariah, cikgu Lim, cikgu Sudarjo, cikgu Pangabean ketika belajar di SMART, cikgu Sabudin ketika belajar di SMRK Maran, cikgu Mutalib ketika belajar di SMKR Chenor, cikgu Ishak, cikgu Ghani, cikgu Samsiah ketika belajar di SK Pesagi. Saya seronok betul kerana dapat C6 dalam mata pelajaran Matematik Tambahan. Apa tidaknya dalam satu sekolah SMART tahun itu, dari 150 orang calon hanya lima orang sahaja yang dapat kepujian. Seperti yang dijangka Prof Jam medapat A2. Prof adalah pelajar terbaik Matematik Tambahan.

Semasa mengambil keputusan saya jumpa cikgu Abdullah Hashim, guru Bahasa Melayu semasa di tingkatan 5. Cikgu ini banyak memberi semangat kepada kami semasa dalam kelas. Pakar motivasilah katakan. Cikgu Abdullah kata saya layak naik tingkatan enam rendah sains sebab Rampaian Sains dapat A2, Sains Tambahan dapat C5, Matematik dapat C3 dan Matematik Tambahan dapat C6. Cikgu kata kena tunggu surat tawaran pada hujung bulan April dan kelas akan dimulakan pada pertengahan Mei 1972.

Emak dapat berita gembira
Saya ceritakan kepada emak yang saya dapat C6 Matematik Tambahan. Emak sangat gembira. Apa lagi, bila jumpa saudara-mara dan kawan-kawannya emak asyik buka cerita tentang saya berjaya dapat C6. Saya rasa kalau emak berpeluang sekolah tentu emak pandai Matematik. Yalah ini semua suratan hidup. Saya akan terus belajar bersungguh-sungguh agar dapat menggembirakan emak sekali lagi.

Memulakan projek besar
Saya telah tetapkan 1 April 1972 adalah hari pertama melaksanakan JEJAK MAL. Ini adalah satu kerja besar yang hendak saya laksanakan. Saya berjanji pada diri saya sendiri untuk melaksanakan tugas besar ini dengan penuh semangat. Tindakan pertama saya dalam melaksanakan JEJAK MAL ialah mengulangkaji dan mempelajari semula tajuk dalam Matematik Tambahan yang masih belum saya kuasai. Kali ini saya kuatkan semangat membaca kembali buku Elementary Analysis itu. Saya beri tumpuan kepada tajuk Trigonometri, Identiti Trigonometri, Janjang Geometri, Pengkamiran fungsi trigonometri dan Kebarangkalian. Saya teringat kepada MAL bahawa tidak perlu ingat formula tetapi cuba fahamkan bagaimana proses pembentukannya serta pembuktiannya. Saya cuba fahamkan pembentukan rumus Identiti Trigonometri bermula daripada ungkapan Teorem Pythogoras Selepas bertungkus lumus akhirnya saya berjaya memperolehi formulanya. Selepas itu saya cuba jawab soalan Identiti Trigonometri itu. Mudah pula rasanya. Kebanyakan soalan berjaya dijawab. Seterusnya saya cuba membentuk rumus dan . Bukan main seronok lagi kerana semua formula berjaya dibuktikan. Saya mula meyakini kebolehan otak sendiri. Saya semakin seronok. Setiap hari saya belajar sendiri hingga lima jam. Ayah saya naik hairan apa sebabnya saya begitu kuat belajar. Ayah ceritakan kehairanannya kepada Pak Andak Said. Pak Andak Said adalah kawan rapatnya yang selalu pergi berderau ke kebun bersama-sama. Saya dapat cerita itu daripada Pak Andak Said. Saya tidak cerita kepada sesiapa pun tentang projek besar saya itu. Kini saya sudah mula mendapat rentak untuk melaksanakan JEJAK MAL. Setelah bertungkus lumus selama sebulan setengah saya berjaya meghabiskan semua tajuk yang saya lemah semasa di tingkatan 5 dahulu. Kalau peperiksaan Matematik Tambahan diadakan sekarang saya jamin dapat A1.

Sekarang saya mahu melangkah ke fasa seterusnya dalam melaksanakan JEJAK MAL. Kali ini saya minta wang sebanyak $50.00 daripada ayah. Saya katakan hendak beli buku Matematik tingkatan enam. Tanpa banyak soal ayah memberi wang yang saya mahu itu. Walau pun ayah tidak pernah pergi sekolah tapi kalau berkaitan dengan buku sekolah ayah sangat bermurah hati. Saya rasa kalau ayah ada peluang bersekolah ayah boleh jadi jurutera atau arkitek sebabnya ayah adalah tukang kayu yang handal di kampung. Ayah juga boleh buat gasing yang dilarik. Ayah boleh buat lukah, ambung, pengilau dan perahu. Hasil kerjanya sangat kemas. Bakat seninya sangat tinggi.

Berbekalkan wang $50 itu saya pergi ke Kuantan untuk membeli buku teks Matematik tingkatan enam bertajuk Further Elementary Analysis karangan P.Porter dan Darkin. Buku ini adalah lanjutan kepada buku teks Elementry Analysis tingkatan empat dan lima itu. Semasa berada di kedai buku Sima Store saya membelek satu per satu buku di atas rak buku tingkatan enam itu. Tiba-tiba saya ternampak sebuah buku baru bertajuk “Analisa Permulaan Lanjutan” karangan P.Porter. Saya terus menyemak buku itu. Memang sah buku itu adalah terjemahan daripada buku teks asal dalam bahasa Inggeris yang bertajuk Further Elementary Analysis. Tanpa berlengah lagi saya terus membelinya. Harganya ialah $13 sebuah. Saya sangat gembira kerana mendapat apa yang dihajatkan dan lebih seronok lagi buku itu dalam versi Bahasa Melayu yang diterjemah oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Sewaktu dalam bas pulang dari Kuantan ke Maran saya sempat membelek-belek buku itu. Saya dapat membaca isi kandungannya sepintas lalu. Saya cuba baca Bab II-Logarizam, Rangkap Logarizam dan Eksponen. Saya rasa tidak sukar untuk memahamkannya. Saya berasa tidak sukar melaksanakan JEJAK MAL.

Meneroka sendiri
Saya memulakan penerokaan sendiri terus kepada Bab II iaitu Logarizam, Rangkap Logarizam dan Eksponen. Saya ikut cara MAL iaitu fahamkan takrif dan Hukum-hukum log. Lepas itu cuba fahamkan contoh-contoh penyelesaian soalan. Akhir sekali menjawab soalan Latihan 2A. Saya sangat gembira kerana dapat menjawab soalan hingga nombor 6. Lebih seronok lagi bila semak jawapan di belakang semuanya betul. Soalan nombor 7 dan seterusnya saya tinggalkan dulu kerana tidak faham. Saya meneroka pula Bab III iaitu tajuk Siri Ganda, Eksponen, Log dan Trigonometri. Saya cuba fahamkan takrif dan huraian siri itu. Selepas itu telitikan contoh dan jawab soalan yang mudah. Memang saya mampu mengikut cara MAL belajar. Saya mulai sedar bahawa otak saya juga ada kelas. Selama ini saya banyak bergantung kepada rakan untuk menyelesaikan sesuatu masalah Matematik. Kini saya berdikari menghadapi cabaran. Sebelum melangkah ke tingkatan enam rendah saya sempat meneroka hingga tajuk Geometri Koordinat dan Garis Lurus. Saya rasa persediaan untuk naik ke tingkatan enam memang rapi dengan adanya buku teks Matematik. Yang paling bermakna sekali ialah persediaan awal mempelajari Matematik. Langkah saya ke tingkatan enam membawa misi penting menjayakan JEJAK MAL. Tiada seorang pun kawan-kawan saya tahu akan misi saya kali ini.

Saya merenung sejenak hasil kerja saya selama satu bulan setengah selepas mendengar cerita MAL itu. Saya dapat rasakan banyak hasilnya. Yang pertamanya saya telah mengulangkaji semua tajuk Matematik tambahan. Seterusnya berjaya mejawab kebanyakan soalan. Kelemahan asas Matematik boleh dikatakan hampir sifar. Yang keduanya ialah saya berjaya menyediakan diri untuk belajar Matematik tingkatan enam. Saya telah belajar tiga bab tajuk tingkatan enam. Saya telah tahu formula yang digunakan dan berjaya menjawab soalan-soalan yang mudah. Saya telah ada momentum awal. Saya tidak sabar lagi untuk meneruskan pelajaran ke tingkatan enam rendah sains.

Mat Pilus yang baik hati
Saya sentiasa mengingati jasa sahabat saya Mat Pilus, nama sebenarnya ialah Jaafar bin Talib. Kemurahan hatinya membenarkan saya mendengar temuramah radio memang tidak dapat dilupakan. Saya telah mendapat pengajaran yang tidak ternilai harganya. Saya telah jadikan panduan semasa belajar Matematik. Saya sedang menikmati hasilnya. Setelah terpisah sejak tahun 1972, saya berjaya menemuinya di Felda Keratong Dua pada hari raya Aidilfitri yang baru lalu. Saya sangat gembira dapat bertemu rakan sewaktu remaja dahulu. Kami terpisah hampir 32 tahun tapi bila bertemu tetap mesra seperti dulu juga. Banyaklah cerita lama ditimbulkan semula.

Saya bangga kerana Mat Pilus berjaya membina semula rumahnya menggunakan kemahiran bertukang. Hasil kerjanya sangat kemas. Selepas sembahyang magrib saya nampak hidangan makan malam telah pun tersedia. Lauk, sayur dan ulam semuanya ala kampung. Melihat lauk pauk itu, saya terus teringat tahun 70an dahulu semasa di kampung Tanjung Berangan. Kami berempat iaitu Mat Pilus, Cik Dir, Abang Long dan saya sendiri makan dengan berselera sekali.
Kami bergambar untuk mengingati kenagan lama. Sebelum saya melangkah turun dari rumah, Mat Pilus berpesan,“Bila buku siap beri kon satu ye.”
Dalam gambar kelihatan sahabat saya, Mat Pilus meriba radio yang disayanginya itu.


Kita tidak rugi mempunyai ramai kawan. Kita tidak tahu satu hari nanti kawan akan menolong kita. Kawan yang menolong itu mengatakan pertolongannya kecil sahaja tetapi kita yang menerimanya mendapat faedah yang sangat besar. Oleh itu jangan takut untuk memberi pertolongan yang ikhlas. Mungkin pertolongan anda dapat menyelamatkan masa hadapan rakan anda itu. Mungkin anak cucu anda pula akan mendapat pertolongan orang lain pula?

No comments:

Post a Comment