Saturday, March 12, 2011

Belajar Matematik Di Tingkatan Enam Rendah

Rahsia 06
Tingkatan enam rendah sains, 1972.
Pada penghujung bulan Mei saya kembali semula ke Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib, Kuantan untuk menyambung pelajaran ke kelas tingkatan enam rendah sains. Kehadiran kali kedua tidak menimbulkan banyak masalah. Rasa sunyi dan rendah diri seperti masa tingkatan empat dahulu sudah tiada lagi. Tambahan pula kehadiran saya kali ini membawa bersama senjata canggih iaitu JEJAK MAL. Pelajar lelaki tingkatan enam rendah ditempatkan dalam satu kamar khas di asrama. Seronok juga tidak bercampur dengan pelajar lain. Kelas tingkatan enam rendah sains dihuni seramai 26 orang pelajar. Lebih separuh adalah rakan-rakan saya semasa di tingkatan lima dulu. Yang lain-lain diimport dari negeri Kelantan dan Terengganu. Kelas kami diserikan dengan sekuntum bunga ros iaitu Faezah Jaafar yang comel itu. Dialah penyeri kelas kami. Faezah sangat baik dan pandai menjaga diri. Kami semua menghormatinya. Di antara kawan-kawan saya yang lain ialah Prof. Jam, Alwi, Mat Karim, Aris, Musana, Mus, Suhaimi, Robil, Ismail Bidin, Ismail Husain, Razak, Rahim, Kamarudin dan Baharudin.


Bertemu kembali dengan bapak Sudarjho.
Saya terkejut besar apabila tiba-tiba cikgu Sudarjho masuk ke kelas. Beliau memperkenalkan diri sebagai guru kelas dan mengajar Matematik. Saya dan Suhaimi saling berpandangan. Tahun lepas saya, Suhaimi dan dua orang lagi pergi berjumpa Pengetua mengadu tentang cikgu Sudarjho. Saya terus teringat kepada tajuk Ilmu Pelayaran yang diajar oleh beliau. Habis semua sesat dalam pelayaran. Nasib baiklah ada seorang pelayar handal bernama Kamariah WA yang berjaya memandu kami hingga sampai ke pengkalan. Kali ini kami tidak protes lagi sebaliknya akan cuba mengikuti dahulu pengajarannya. Sungguh menghairankan, kali ini pengajarannya dapat saya fahami. Mungkin juga ini adalah petanda awal keberkesanan JEJAK MAL yang saya praktikkan sekarang ini. Satu lagi kemungkinannya ialah cikgu Sudarjho ini memang berpengalaman mengajar Matematik tahap pra universiti. Kebanyakan rakan lain terkial-kial untuk memahaminya. Apa tidaknya, pengetahuan Matematik peringkat tingkatan lima sangat lemah. Dalam kelas ini Prof Jam sahaja yang dapat A2 dalam Matematik Tambahan. Azmi dari SMT Kuantan dapat C4, ada tiga orang termasuk saya dapat C6. Yang lain-lain dapat P7, P8 dan F9. Walau pun saya hanya memperolehi C6 tapi saya telah menghapus semua kelemahan asas. Saya telah membuat ulangkaji. Selepas belajar hampir sebulan, cikgu Sudarjho mengadakan ujian bulanan. Ujian ini meliputi tajuk Geometri Kordinat Lanjutan dan Kebarangkalian. Beberapa hari selepas itu cikgu Sudarjho pun membawa bersamanya kertas jawapan Matematik untuk dipulangkan kepada kami. Bukan main berdebar lagi. Tiba-tiba cikgu Sudarjho menyebut nama saya. Saya terus ke hadapan. Cikgu Sudarjho berkata;

“Tahniah, saudara dapat markah paling tinggi, lihat ini 75%.”



Saya bukan main seronok lagi, rasa nak melompat. Memang sah perlaksanaan JEJAK MAL telah menampakkan hasil yang pertama. Dalam ujian itu hanya tiga orang sahaja yang lulus. Prof Jam dapat 50% dan Azmi dapat 40%. Prof macam tak percaya yang saya dapat markah 75%. Dia beria-ia benar menyemak jawapan saya, dia mengira markah dari setiap soalan, manalah tahu kalau-kalau cikgu tersilap campur markah. Akhirnya dia senyap. Sebenarnya Prof tak tahu saya telah melakukan persediaan sejak awal April lagi. Sejak itu persaingan antara kami semakin sengit. Saya bukan setakat hendak bersaing dengan dia sahaja malah mahu mendapatkan prinsipal A dalam mata pelajaran Matematik. Saya tidak pernah menceritakan kepada sesiapa tentang projek JEJAK MAL. Saya terus mengikuti sepenuhnya pengajaran guru dalam kelas serta membuat latihan yang disuruh dan latihan tambahan yang saya rancang sendiri. Selain itu saya belajar dahulu tajuk-tajuk di hadapan sebagai persediaan proaktif. Rakan-rakan lain masih “honeymoon”. Saya telah menetapkan jadual belajar sejak awal-awal lagi. Masa mengulangkaji dan latihan Matematik mesti sekurang-kurangnya satu jam sehari. Ada kalanya terlajak hingga dua jam. Tiada siapa yang mengarahkan saya berbuat begitu. Bermula daripada kesedaran mahu mengikut idola, timbul pula rasa minat dan seterusnya terjelmalah displin kendiri untuk mencapai kejayaan.

Helah mencari rakan belajar
Saya terus berbaik-baik dengan Prof Jam supaya mudah berbincang jika ada yang tidak faham. Ada seorang lagi pelajar yang handal Matematik, tapi dalam kelas enam atas sains, namanya Abu Zarim. Abu memang nampak hebat dalam Matematik. Pada belakang baju-t putih riadahnya penuh dengan formula Matematik yang pelik-pelik belaka. Saya ternampak berbagai formula pada belakang baju-t yang dia pakai tahun lepas. Masa itu Abu di tingkatan enam rendah dan saya pula di tingkatan lima. Abu memang menjadi tempat rujukan kawan-kawan sekelasnya. Saya pun mula memikirkan untuk berkawan dengannya. Puas juga saya memikirkan cara mana mahu mendekatinya. Saya masih ingat, tahun lepas ada peristiwa budak tingkatan lima berselisih faham dengan budak enam rendah. Inilah yang menyukarkan perhitungan saya. Akhirnya saya mahu gunakan saluran permainan bola tampar. Abu dan rakan-rakannya memang memonopoli permainan itu sejak dari tahun lepas lagi. Abu yang berbadan tinggi lampai itu memang sesuai dengan permainan ini. Dialah yang selalu menjadi “spiker” dalam pasukannya. Abu dihormati oleh rakan-rakannya kerana pandai Matematik dan dikagumi di padang kerana handal bermain bola tampar. Saya selalulah pergi ke gelanggang pada jam 5.00 petang. Mula-mula saya menyaksikan mereka bermain tetapi apabila mereka tidak cukup orang barulah saya dipanggil masuk. Bila dapat peluang bermain saya akan cuba bersungguh-sungguh supaya dapat terus diterima sebagai ahli kumpulan itu. Sebenarnya saya pernah mewakili sekolah dalam permainan ini semasa di SMK Chenor dahulu. Akhirnya saya berjaya berbaik-baik dengan Abu Zarim dan rakan-rakanya. Dia sebenarnya tidak tahu ada udang di sebalik batu. Sejak itu saya dapat seorang lagi kawan untuk mengadu hal bila berhadapan dengan masalah Matematik. Yeh! Saya berjaya.

Membentuk kumpulan “Oversea’s Student Study Group”
Kadang-kadang semasa “prep” petang dan malam saya duduk dalam kelas enam atas sains. Suasana dalam kelas itu ada gaya orang hendak ambil periksa. Belajar dalam kelas enam rendah ini banyak cabarannya. Maklumlah periksa STP tahun hadapan. Banyak sangat aktiviti berborak, banyak masa belajar terabai. Untuk mengatasi masalah itu saya berpakat dengan beberapa orang kawan untuk membentuk kumpulan belajar. Kumpulan ini dinamakan “ The Oversea’s Student Study Group”, ringkasnya OSSG. Setiap ahli OSSG mesti bertindak sebagai pakar rujuk. Aris adalah pakar Kimia, Alwi adalah pakar Fizik, Mat Karim pakar Biologi, Fauzi pakar Kertas Am dan saya tentulah Matematik. Sebagai tanda kenangan petang itu kami lima orang bergambar di hadapan asrama. Semua ahli OSSG bercita-cita hendak menyambung pelajaran ke luar negara selepas STP nanti. Cita-cita hebat belaka. Nak tahu cita-cita saya? Tentulah pensyarah Matematik di U. Itulah azam saya. Aktiviti OSSG dapat berjalan beberapa minggu sahaja. Selepas itu mulalah tersangkut-sangkut. Masalah utama ialah pakar rujuk tidak cukup persediaan untuk menerangkan kepada ahli-ahli kumpulan. Tidak lama kemudian OSSG hancur tapi ahli-ahlinya tetap jadi geng rapat seperti dahulu juga. Kini saya lebih kerap membawa diri belajar bersama-sama pelajar senior enam atas sains. Mereka telah terima saya jadi rakan studi. Ada juga di kalangan mereka yang bertanya saya masalah Matematik. Bukan main seronok lagi bila dapat menerangkan kepada senior. Di kalangan senior yang karib dengan saya ialah Osman Puteh, Jusoh, Abu, Zul, Mamat dan Daud. Memang untung dapat berkawan dengan senior. Tidak sedar cuti penggal kedua sudah tiba.

Hari pertama penggal ketiga sungguh menyeronokkan. Maklumlah dapat berjumpa kawan-kawan setelah bercuti selama dua minggu. Selepas rehat ada pelajaran Kertas Am dan dua waktu terakhir ialah Matematik. Kami semua berharap cikgu tak masuk. Sangkaan kami meleset, cikgu Kamariah J masuk juga. Dia bawa cerita kesan buruk aktiviti pembalakan. Habis dua masa dengar ceramahnya. Cikgu ini kalau buat contoh mesti merujuk kepada Australia, mentang-mentang dia lulus dari universiti di sana. Cikgu Kamariah memang pandai mengolah hujahnya. Semua budak tercengang mendengar ceritanya. Cikgu Kamariah memang cerdik masa sekolah dahulu. Dia mendapat Biasiswa Rancangan Collombo untuk melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Jangan silap ya, ini Kamariah Jaafar bukan Kamariah WA yang mengajar Matematik tahun lepas. Namun begitu kedua-dua Kamariah ini hebat belaka. Beruntunglah pelajar yang dapat berguru dengan mereka berdua itu.

Ditangkap oleh pengetua
Habis waktu Kertas Am, kini waktu Matematik pula. Telah lima minit berlalu tapi cikgu masih belum masuk. Kami semua mengharapkan cikgu terus tidak datang. Ada kawan kata cikgu Sudarjho masih bercuti di Indonesia. Saya terus teringatkan pakaian yang berendam dalam baldi di bilik air asrama. Saya mengambil keputusan cabut lari ke asrama hendak membasuh pakaian. Saya sangat seronok membasuh pakaian sebab tidak perlu berebut-rebut air untuk membilas. Sedang saya asyik membilas pakaian tiba-tiba terdengar suara dari luar;
“Siapa di dalam bilik air itu?”
Saya pun membalasnya, “Oi, akulah”.
Saya meneruskan kerja membilas pakaian tanpa menoleh ke belakang,“Mengapa kamu basuh kain masa sekolah?”.
Suara itu sangat hampir, saya pun menoleh ke belakang, rupa-rupanya Pengetua. Saya tergamam, tak dapat nak jawab apa-apa kali ini. Kali ini saya jadi seperti raja catur yang terkepung, tidak boleh lari ke mana-mana lagi, habis langkah, kena “checkmete”. Budak sekarang kata “kantoi”.
Pengetua berkata,
“saya beri masa lima minit kepada awak untuk tukar pakaian sekolah, saya tunggu, lepas itu pergi sekolah.”
Saya membayangkan, “Habislah, kena rotanlah hari ini.”
Saya memikirkan apakah hukuman yang saya akan terima hari ini. Saya terus teringat semasa di SMK Chenor dulu 23 kali kena rotan. Masa tingkatan empat dapat sekali dan kini apalah pula nasib kali ini. Belum sampai lima minit saya datang menemui Pengetua yang sedang menunggu di kaki lima asrama. Selepas itu Pengetua mengarahkan saya berjalan terus ke bangunan sekolah. Saya tidak tahu arah mana hendak dituju. Pengetua mengarahkan saya terus pergi ke kelas enam rendah sains. Saya berasa lega kerana pengetua tidak menyuruh saya pergi ke pejabatnya. Terlepaslah daripada kena rotan agaknya. Untuk sampai ke kelas itu kena melalui kelas 5 Sains 1 dan 5 Sains 2. Sambil berjalan saya menoleh ke belakang, rupa-rupanya Pengetua mengekori saya pada jarak dua meter. Bukan main malu lagi bila melalui kelas tingkatan lima itu. Ada beberapa orang budak perempuan dalam kelas itu menutup mulut, agaknya nak ketawa tetapi malu pada Pengetua. Saya bukan main bengang lagi rasa hendak cungkil mata budak-budak itu. Kali ini betul-betul macam banduan yang sedang diiringi oleh Warden Penjara. Bila sampai di hadapan kelas saya pun berhenti. Rupa-rupanya di dalam kelas nampak cikgu Sudarjho sedang mengajar Matematik.
Pengetua panggil cikgu Sudarjho keluar.

“Cikgu kena tengok selalu dia ni, jangan bagi dia hilang dari kelas.” Pesan pengetua kepada cikgu Sudarjho.

“Baiklah tuan”, balas cikgu Sudarjho.

Pengetua berpaling pula ke arah saya,
“Yahya, lain kali jangan buat lagi ya”, ujar Pengetua sambil memandang tepat ke mata saya.

Aku Insaf, tidak mahu ponteng lagi
Saya terkejut kerana Pengetua tahu nama saya. Saya tidak sangka Pengetua menghukum saya secara begini. Hari ini saya mendapat pukulan yang berbisa. Badan tidak sakit tapi kesannya sangat mendalam. Sejak itu saya serik, berjanji selagi Encik Sofian jadi Pengetua janganlah cuba-cuba hendak ponteng kelas. Lama juga saya terkenang akan peristiwa itu. Saya bersyukur mendapat Pengetua yang rajin lagi bijak. Saya agak cikgu Sudarjho tersindir juga. Apa tidaknya, masa saya keluar tadi masa Matematik telah berlalu beberapa minit. Pandai betul Pengetua bermain dengan psikologi, sekali gus dapat menyelesaikan masalah disiplin murid dan guru. Saya betul-betul berterima kasih kepada Pengetua. Tindakannya telah mematikan perangai buruk yang saya baru cuba itu. Katakanlah saya tidak ditangkap pada hari itu, mungkin saya lebih berani untuk mengulanginya lagi. Kalau itu berterusan, mungkin JEJAK MAL akan hancur lebur. Inilah kuasa Tuhan, saya diselamatkan. Memang saya betul-betul insaf. Semangat belajar menjadi semakin kuat. Terima kasih Pengetua.

Mulai sekarang saya menetapkan jam 2.30 hingga 4.30 petang buat latihan Matematik. Waktu itu mata selalu mengantuk. Saya lawan rasa mengantuk dengan cara melakukan aktiviti yang saya minati itu. Saya memang disiplinkan diri supaya waktu yang ditetapkan itu digunakan sepenuhnya. Ada kalanya terlajak hingga 5.30 petang. Sebelah malam saya tumpukan kepada mata pelajaran Fizik dan Kimia pula.

Menulis surat ke University of Cambridge, London
Buku teks Matematik yang saya gunakan itu mengandungi tajuk yang sangat luas sehingga melewati sukatan pelajaran STP. Oleh itu saya mesti ada sukatan pelajaran . Puas saya cari buku sukatan pelajaran Matematik dan Sains di kedai buku di bandar Kuantan, mereka kata telah habis dijual. Oleh itu saya ambil keputusan untuk mendapatkan terus daripada University of Cambridge Local Examinition Syendicate, London. Saya beli money order dalam mata wang Pound Britsh ( £ ). Seterusnya saya tulis surat dalam Bahasa Inggeris dan kemudian pos. Harap-harap mat saleh di sana faham apa yang saya tulis sebab BI saya sangat teruk, masa SPM tahun lepas dapat enam pening. Selang dua minggu saya menerima satu kiriman dari London. Di dalamnya ada sebuah buku sukatan pelajaran dan sekeping nota. Antara tulisan dalam nota itu ialah, “ Even your money is not enough but we are very glad to give you one copy”. Rupanya harga sukatan pelajaran itu telah naik sebab perubahan nilai mata wang. Baik hati juga mat salleh itu. Saya seronok kerana dapat buku sukatan pelajaran. Pernah satu hari Mr.Poon pinjam buku sukatan pelajaran saya untuk difotostat bahagian Kimia. Bila ada sukatan pelajaran tahulah secara terperinci tajuk yang diliputi. Saya bercadang hendak menghabiskan sukatan pelajaran Matematik Tulen tahun ini juga. Tahun hadapan enam bulan pertama boleh tumpukan tajuk Mekanik pula. Bulan Julai hingga November adalah masa ulangkaji. Saya berjaya menghabiskan tajuk Matematik Tulen seperti yang dirancangkan itu. Dalam peperiksaan akhir tahun tingkatan 6 rendah saya mendapat 70% dalam mata pelajaran Matematik. Penguasaan saya masih belum mantap. Saya bercadang membuat ulangkaji semasa cuti nanti.

Cuti hujung tahun bermula dari pertengahan November 1972 hingga awal Januari 1973. Guru memang tidak memberi tugasan masa cuti. Kami bebas selama sebulan setengah. Bagi saya inilah ketika yang paling seronok belajar Matematik, Fizik dan Kimia. Tetapi saya hanya menerangkan kesah perjuangan Matematik sahaja . Sebelah pagi menoreh getah. Sebelah petang dan malam saya membuka buku teks Matematik. Saya telah ada kemahiran dan kekuatan belajar sendiri. Saya terus sahaja meneroka tajuk baru yang akan dipelajari tahun hadapan. Antara tajuk yang dikaji ialah Hipabola, Kamiran jenis lazim, Pengkamiran pecahan terukur, Kaedah lanjutan pengkamiran lazim, Kamiran cara tukar ganti, Persamaan kerbeda dan Nombor majmuk. Jika terasa jemu atau letih saya akan pergi ke padang bermain bola bersama belia kampung Pesagi. Saya berjaya meneroka sendiri lebih awal tajuk yang akan dipelajari pada tahun hadapan. Kini saya tahu bahawa saya juga boleh lakukan.

No comments:

Post a Comment