Wednesday, June 24, 2009

Rahsia 01

Belajar Matematik di Sekolah Kebangsaan Pesagi, Chenor tahun 1961 hingga 1966

Saya ialah anak yang kedua dalam keluarga. Saya selalu melihat buku Abang Long apabila dia pulang dari sekolah. Saya belajar dari Abang Long sifir dua dan tiga sebelum masuk darjah satu. Saya belajar secara mengingat sahaja. Emak ada juga mengajar menulis nombor 1 hingga 10. Banyaklah kesan conteng di dinding rumah nenek di kampung. Apabila melangkah ke darjah satu pada tahun 1961, pengetahuan saya dalam kira-kira telah ada sedikit.

Saya sangat seronok bila pergi ke sekolah. Tiap-tiap pagi kami berjalan kaki dari Kampung Lompat ke Sekolah Kebangsaan Pesagi, Chenor. Kami berjalan kaki turun naik bukit sejauh tiga kilometer. Itu adalah latihan jasmani yang sangat baik. Guru kelas darjah satu ialah Cikgu Samsiah. Saya memang tidak dapat melupakan jasa Cikgu Samsiah. Pertamanya Cikgu Samsiah sangat baik. Saya rasa beliau adalah ganti emak semasa di sekolah. Mula-mula masuk sekolah, Cikgu periksa kuku dan rambut. Cikgu terpaksa menyikat dan mengikat rambut beberapa orang murid perempuan. Saya nampak Cikgu menggunakan sikat bilah menyikat rambut budak perempuan kerana kepala beberapa orang budak perempuan ada kutu. Saya nampak kutu jatuh ke lantai. Ada yang merening kekenyangan. Kutu itu merayap di atas lantai. Cikgu menyuruh budak lelaki mengutip kutu yang merayap itu dan menindasnya di luar kelas. Apa lagi, kami berebut-rebut menangkap kutu itu. Cikgu menyuruh kami membunuhnya. Saya tidak mahu menindas kutu itu, sebaliknya menghentak menggunakan batu. Selepas itu, Cikgu menyapu minyak dan mengikat rambut hingga nampak kemas. Rambut yang panjang diikat tocang. Selepas itu cikgu bertanya, “Siapa yang membunuh kutu paling banyak?”. Saya mengangkat tangan, “Tiga cikgu”. Lepas itu Jama pula mengangkat tangan, “Empat cikgu”. Tapar pula menyampuk, “Saya empat juga”. Wah hebatnya cikgu Samsiah mengajar kami membilang secara suka-suka sahaja.

Kami dikehendaki membawa biji getah untuk aktiviti mengira. Cikgu menyuruh kami melonggokkan buah getah dalam beberapa buah pinggan kertas. Setiap pinggan mesti diisi buah getah sama banyak bilangannya. Saya mulai faham kiraan darab. Selepas faham konsep darab barulah saya berjaya menghafal sifir dua hingga 12. Jika saya tidak berjaya mengingatinya, saya akan cuba bayangkan bilangan pinggan dan biji getah. Misalnya 4x7. Ini bermakna ada 4 pinggan, setiap pinggan ada 7 buah getah. Selepas itu saya menambah 7+7, hasilnya 14. Selepas itu 14+7, hasilnya 21. Akhir sekali 21+7, hasilnya 28. Selepas itu cikgu sentiasa meminta kami menghafal sifir tiap-tiap hari. Saya berjaya menghafal sifir dua hingga 12 sewaktu darjah satu.

Sewaktu darjah tiga, empat dan enam, Cikgu Ishak Siwok mengajar Matematik. Sewaktu darjah lima, Cikgu Ghani mengajar Matematik. Saya belajar mengira waktu. Saya belajar mengira berat dalam kati dan tahil serta pound dan aounce. Saya belajar mengira jarak dalam inci, kaki, ela dan batu. Cikgu Ishak dan Cikgu Ghani juga mengajar kira pecahan, perpuluhan dan angka hingga ratus ribu. Cikgu juga mengajar kira-kira sudut segitiga dan segiempat. Saya masih ingat lagi dua peristiwa. Yang pertama, Cikgu Ishak selalu buat congak pada waktu akhir. Cikgu mengemukakan soalan, siapa yang mahu menjawab dikehendaki mengangkat tangan. Jika berjaya menjawab betul, ganjarannya boleh baik. Saya selalu berjaya keluar awal tetapi tidak terus pulang. Sebaliknya saya mengintai ke dalam kelas melalui tingkap. Saya mahu melihat siapa yang keluar akhir sekali. Saya mendengar berpuluh-puluh kali Cikgu Ishak mengemukakan soalan. Ada kalanya tiada siapa yang dapat menjawab. Saya berasa geram, mahu menjerit memberi jawapan tetapi tidak sampai hati.

Saya masih ingat, sewaktu darjah enam, Cikgu Ishak menulis soalan Ilmu Hisab di papan hijau condong. Saya menyalin soalan dan terus menjawabnya. Apabila siap, serahkan buku kepada Cikgu. Cikgu terus memberi tanda √ atau x . Saya mendapat banyak tanda √ dan tertulis perkataan “Baik”. Bagi jawapan yang salah, cikgu suruh buat pembetulan ketika itu juga. Ada kalanya saya terpaksa menjawab beberapa kali untuk mendapat tanda √.

Bila direnungkan kembali, saya sangat beruntung dapat belajar daripada guru yang dedikasi.

1 comment:

  1. Cikgu Shamsiah dalam cerita tu...memang kreatif...sayapun boleh gunakan caranya untuk anak saya yang ke 4 ni...susah nak ingat kalau saya mtk hafal sifir...TK

    ReplyDelete