Tuesday, June 30, 2009

Rahsia 03

Seksanya Belajar Matematik Dan Matematik Tambahan Tingkatan Empat

Tingkatan 4 Sains 4
Awal Januari tahun 1970, saya meneruskan pelajaran ke tingkatan empat aliran sains di Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib, Kuantan. Tingkatan empat sains ada lima kelas semuanya. Kedudukan kelas ditentukan mengikut keputusan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Saya ditempatkan di kelas 4 Sains 4. Sedih juga rasanya kerana ditempatkan di kelas ini. Apa tidaknya hanya saya seorang sahaja dari SMK Maran ditempatkan di kelas ini. Rakan-rakan saya yang lain berjaya ditempatkan di kelas 4 Sains 1, 4 Sains 2 dan 4 Sains 3. Alangkah sunyinya berada di kelas ini. Setelah saya renungkan memang patut saya diletakkan di kelas 4 sains 4. Penempatan berdasarkan pencapaian Matematik dan Sains. Saya memperolehi 25 aggriget, Matematik I dapat C4, Matematik II dapat C6 dan Sains dapat C6. Bayangkanlah ada ramai pelajar yang lebih cemerlang daripada saya. Bilangan mereka dianggarkan 100 orang. Kelas 4 Sains 1 memang terdiri daripada “top student” negeri Pahang. Hanya seorang sahaja wakil SMK Maran yang berjaya masuk ke kelas 4 Sains 1. Beliau ialah Kamarudin Taib. Dia ni memang jaguh semasa di Maran dahulu. Senarai buku teks tingkatan empat diedarkan semasa pendaftaran tersebut. Saya sangat terkejut kerana buku teks bagi mata pelajaran Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi semuanya dalam Bahasa Inggeris. Harganya pula sangat mahal. Pada waktu itu belum ada Skim Pinjaman Buku Teks. Semuanya mesti beli sendiri. Nampaknya ayah saya terpaksalah menoreh getah terlebih dahulu untuk menyediakan wang yang banyak bagi membeli buku-buku tersebut. Saya bertanya dalam hati, “Boleh ke faham baca buku-buku itu?”. Buku Matematik Tambahan bertajuk “ Elementary Analysis” karangan J.Poker dan Dakin. Seingat saya, jarang sekali saya membuka buku tersebut. Saya belajar hanya berdasarkan apa yang diberi oleh guru sahaja.

Cikgu Lim ajar Matematik dan PJ
Cikgu Lim Sim Kuey mengajar Matematik dan Pendidikan Jasmani. Seronok juga belajar dengan Cikgu Lim tetapi lebih seronok lagi belajar PJ. Masa PJ budak lelaki kelas saya bergabung dengan budak 4 Sains 3. Cikgu Lim selalu menjalankan pelbagai aktiviti memanaskan badan, pertandingan antara kumpulan dan gimnastik. Kadang kala ada juga diselitkan dengan permainan takraw, bola sepak dan ragbi. Permainan Rugbilah yang paling kerap sebab beliau adalah jurulatih ragbi sekolah kami. Masa itu SMART memang hebat dalam permainan ragbi. Cikgu Lim mesti jadi refrinya kalau tidak adalah pelajar yang bertinju sebab di kalangan kami ada yang jadi batu api. Kami semua seronok belajar PJ. Memang kami bermain bersungguh-sungguh. Selepas PJ badan kami basah kuyup. Singlet boleh diperah macam tuala basah. Cikgu Lim mampu menyampaikan pengajaran Matematik dalam Bahasa Melayu dengan baik. Pelat sedikit-sedikit itu biasalah tetapi tidak sampai mengganggu kosentrasi saya dalam memahami pengajarannya. Belajar Matematik dari Cikgu Lim ini boleh tahan juga penatnya sebab banyak kerja rumah yang diberinya. Ramai rakan saya mengeluh dan tidak siap kerja rumah. Selalu juga Cikgu Lim bengang apabila para pelajar tidak menyiapkan kerja rumah. Kalau Cikgu Lim marah nampaklah cuping telinganya menjadi merah. Yang hairannya Cikgu Lim tidak pernah pukul kami. Denda yang paling teruk ialah disuruh berdiri sahaja. Satu hari Cikgu Lim naik berang sebab hampir semua pelajar kelas saya tidak menyiapkan kerja rumah termasuklah saya. Hari itu sungguh tidak disangka, Cikgu Lim mengambil tindakan yang memeranjatkan. Buku latihan Matematik kami dilancarkan keluar tingkap. Apa lagi melayanglah buku-buku itu dari tingkat tiga ke dataran rumput betul-betul di hadapan bilik pengetua. Beberapa minit lepas itu Cikgu Lim suruh pelajar lelaki mengambil buku masing-masing. Kami terus turun untuk mengambil buku masing-masing. Saya terasa seram juga sebab terpaksa melintas bilik pengetua. Pengetua kami ini boleh tahan juga garangnya. Namanya Encik Nawawi. Kami bergerak memberanikan diri terus mengambil buku masing-masing. Tetapi nasib kami kurang baik. Belum pun kami sempat cabut lari, terus sahaja kedengaran bunyi yang nyaring, “Berhenti !” Rupa-rupanya suara itu datangnya dari bilik Tuan Pengetua. Kami semua diarah masuk ke bilik beliau. Habis buku diperiksa satu demi satu. Setelah bersoal-jawab maka kami mengaku tidak menyiapkan kerja rumah. Akhirnya setiap orang mendapat hadiah masing-masing, satu rotan seorang. Boleh tahan juga sakitnya. Maklumlah Pengetua kami ini masih gagah. Masih lasak sebab saya pernah lihat beliau main ragbi dan bola sepak berlawan dengan pasukan pelajar tingkatan enam. Agaknya kalau kena rotan tiga kali terus tidak bangun. Lepas kena rotan itu kami pun naik ke kelas. Setelah masuk ke kelas kami senyap saja. Cikgu Lim tidak tanya apa-apa pun. Saya terfikir, “ Mungkinkah ini adalah pakatan antara Cikgu Lim dan Tuan Pengetua ?” Bukan main susah hendak duduk, serba tak kena. Budak-budak perempuan mengagak sesuatu telah menimpa kami. Ada pelajar lelaki yang berbisik memberitahu budak perempuan. Lepas itu Cikgu Lim suruh budak perempuan pula mengambil buku. Mereka enggan turun dan kedengaran bunyi, “Tak nak,” berulang-ulang kali. Dalam keadaan kelam kabut itu tiba-tiba Othman Sulong berbunyi, “ Oi pergilah, tak apa-apanya.” Memang selayaknya Othman berkata begitu sebab dia adalah ketua kelas. Nampaknya mereka mengalah dan terpaksa turun mengambil buku masing-masing. Sebagaimana dijangka mereka juga menerima habuannya daripada Tuan Pengetua. Bila budak perempuan masuk kelas semuanya menutup mukanya dengan buku sambil tangan kirinya digengam macam nak bertinju saja. Ada di antaranya menangis teresak-esak. Saya meluat betul mendengar orang menangis, manja tidak bertempat. Itulah hadiah kepada yang malas. Cikgu Lim tidak dapat meneruskan pengajaranya kerana hujan tidak berhenti. Saya duduk diam sambil mengenangkan peristiwa itu. Waktu itu saya rasa sangat bernasib baik kerana bersekolah di Kuantan, jauh dari rumah, tentu berita kena rotan ini tidak akan sampai ke pengetahuan ayah.

Beberapa hari selepas itu kelas Matematik berjalan lancar. Kami sudah tidak berani tidak menyiapkan kerja rumah. Namun begitu banyak jawapan yang masih silap dan serupa. Memang baik juga Cikgu Lim buat begitu. Kalau tidak ramai yang main-main saja. Satu hari semasa perhimpunan di dewan sekolah, Tuan Pengetua ada menyentuh tentang kerja rumah. Beliau mengatakan ada kelas tertentu tidak menyiapkan kerja rumah tetapi nasib baik tidak menyebut kelas yang mana satu. Kalau tidak seluruh sekolah tahu peristiwa itu. Mana nak sorok muka. Itu pun saya rasa ada pelajar kelas lain sudah mendengar berita itu. Sebabnya semasa Tuan Pengetua menyentuh perkara tersebut ada beberapa orang pelajar dalam barisan di sebelah menoleh ke arah barisan kami. Semasa di tingkatan empat ini, belajar Matematik setakat apa yang cikgu ajar di dalam kelas dan jawab soalan latihan yang disuruh sahaja. Memang tiada inisiatif sendiri untuk menjawab soalan tambahan atau cuba mengkaji semula bila ada tajuk yang tidak difahami.

Belajar Matematik Tambahan
Kisah Matematik Tambahan ( MT ) pula. Inilah cabaran yang paling hebat. Guru yang mengajar diimport dari Indonesia. Tidak ada ke guru Malaysia yang layak? Rasanya dalam tahun itu tidak kurang tiga kali bertukar guru. Mula-mula bapak Rebo Shiswojo, lepas itu bapak Panggabean dan akhir sekali ialah bapak Wirantho. Semuanya sama sahaja. Sangat membinggungkan. Habis semua pelajar tidak faham, tetapi tiada seorang pun yang berani bertanya. Masa guru MT mengajar , ada yang tidak beri perhatian dan mengganggu kawan. Nampak sangat mereka ini tidak tahu tanggugjawab masing-masing. Belajar tidak faham tetapi tidak berani bertanya pula. Habislah lingkup. Guru MT selalu sangat sebut perkataan yang pelik. Kelas menjadi riuh rendah apabila terdengar perkataan yang pelik itu. Antara perkataan ganjil yang kami terdengar seperti “ shahwat” sebenarnya cikgu maksudkan pesawat iaitu kapal terbang. Bapak Rebo Shiswhojo menjadi serba salah apabila kami semua ketawakannya. Sepanjang satu tahun di tingkatan empat buku Elementry Analysis tidak digunakan. Saya selalu tengok guru MT bawa buku teks Indonesia. Oleh itu selalulah kami terdengar istilah yang pelik itu. Dalam masa satu tahun saya tidak pernah bertanya guru walau pun tidak faham. Bagi saya kawan-kawan kelas 4 sains 2 seperti Alwi, Fauzi dari Maran dan Razali Omar dari Chenor menjadi tempat rujukan. Saya lebih selesa bertanya mereka. Tetapi ada juga masalahnya kerana ada kalanya mereka juga tidak tahu. Dalam peperiksaan akhir tahun tingkatan empat saya lulus kedua-dua pelajaran Matematik itu. Saya mendapat 47% bagi Matematik Awalan dan 49% bagi Matematik Tambahan. Walau pun pencapaian hanya pada tahap P7, saya kira pencapaian itu OKlah. Apa tidaknya, hanya saya seorang sahaja dalam kelas 4 Sains 4 yang lulus kedua-dua pelajaran Matematik. Lebih seronok lagi saya mendapat tempat ketiga dalam kelas ini. Satu kedudukan yang tidak pernah termimpi sebelum ini.

Melompat kelas
Cikgu kata senarai nama pelajar tingkatan lima tahun hadapan dikeluarkan sebelum cuti akhir tahun. Saya sangat berharap dapat kedudukan yang lebih baik. Kami menunggu dengan penuh debaran. Pada suatu pagi ramai pelajar tingkatan empat berkerumun membaca sesuatu yang ditampalkan di papan kenyataan. Saya pun ikut serta. Rupa-rupanya mereka sedang melihat senarai nama pelajar tingkatan lima tahun hadapan. Saya lihat senarai nama tingkatan 5 Sains 1 dari awal hingga akhir namun tiada tercatat nama saya. Saya sungguh berdebar. Lepas itu saya lihat pula senarai nama pelajar tingkatan 5 Sains 2. Puas saya turuti dari awal hinggalah ketiga akhir baru nampak nama saya. Syukurlah dapat lompat dua mata tangga. Rosnah, Zaimun dan saya sahaja dari kelas 4 Sains 4 yang berjaya melompat ke kelas 5 Sains 2. Yang lain ikut nasiblah bertaburan dari kelas 5 Sains 3 hingga ke kelas 5 Sains 5. Nampaknya saya terpaksa berpisah dengan rakan-rakan sekelas dan bersaing pula dengan rakan-rakan baru. Saya dapati dalam senarai kelas 5 Sains 2 itu tercatat nama Lotfi, Arshad, Wan Zahari, Saari dan Aziz. Mereka semua itu adalah rakan baik semasa di SMK Chenor dan SMK Maran. Saya berazam hendak belajar bersungguh-sungguh lagi bila naik tingkatan lima nanti. Pastinya saingan menjadi lebih sengit lagi. Walau bagaimana pun kami semua akan bercuti panjang selama tujuh minggu terlebih dahulu.

Rumusan
Semangat bapa dalam menyekolahkan anak sangat penting. Bapa yang sedar pentingnya pelajaran akan berusaha menyediakan keperluan buku dan alat persekolahan anaknya. Bapa juga perlu mengenali guru anaknya, dapatkan maklumat tentang anak daripada gurunya.

Peranan guru sangat penting dan paling utama. Guru perlu mempraktikkan pengajaran yang boleh menimbulkan minat belajar di kalangan muridnya. Guru perlu ada cara untuk mengesan dengan cepat tahap kefahaman muridnya, misalnya memeriksa hasil kerja, menyoal dan mengadakan ujian. Gurulah sebenarnya yang mencetuskan minat belajar murid. Murid pada peringat ini belum sedar akan tanggungjawab kepentingan mencari ilmu.

Pengetua adalah perancang utama untuk mencetuskan motivasi kepada guru di sekolahnya.


Saya masih menyimpan kertas peperiksaan semasa tingkatan empat. Lihatlah nama, tajuk , markah dan tarikhnya. Pada waktu itu Matematik dipanggil Ilmu Hisab. Saya Berjaya memperolehi 47%, cukup makan sahaja.

No comments:

Post a Comment