Tuesday, September 21, 2010

Anak saudara tak faham Trigo dan Gerakan Zarah Pada Garis Lurus

Semasa raya Aidilfitri yang baru lalu seorang anak saudara yg belajar di sebuah SBP di tingkatan 5 mengadu tak faham beberapa tajuk. Saya suruh dia datang belajar, saya akan beri bimbingan. Keesokan harinya dia datang. Saya tengok kertas jawapan percubaannya. Dia tidak dapat jawab soalan lakaran lengkok trigonometri. Siasat punya siasat, dia tak faham macam mana dapat gelombamg sin dan cos. Saya ambil langkah menerangkan dari awal hingga terbentuknya gelombang itu, sambil itu saya suruh dia kira nilai sin X untuk X bernilaia dari 0^o hingga 360^o. Saya terang langkah demi langkah. Saya dapati dia cepat faham. Hinggalah akhirnya dia boleh lakar graf y=3.sin2x. Lepas itu boleh selesaikan masalah yang berkaitan. Saya sungguh seronok kerana Apang faham dan boleh selesaikan soalan lakaran persamaan trigo.

Esoknya, Apang datang lagi. Kali ini dia nak belajar gerakan zarah sepanjang garis lurus. Dia kata cikgu tak ajar tajuk itu. Pada saya, soalan itu mampu dikuasi dengan baik oleh pelajar SBP. Saya ada pengalaman luas ajar murid dan anak-anak saya yg ambil SPM beberapa tahun lalu. Semua mereka kata sangat mudah. Apang juga mudah faham. Saya gembira kerana apa yang ada dalam kepala saya berjaya dikongsi dengan anak saudara. Saya berkata kpd Apang, "Engah akan datang ke sekolah Apang jika Apang tak faham Add Maths.".
Saya lihat Apang makin bersemangat.

Tuesday, August 24, 2010

Buku RAHSIA CEMERLANG MATEMATIK

Buat masa ini saya sangat sibuk, memang tak sempat nak tulis dalam ruangan ini. Namun begitu saya telah berjaya siapkan sebuah buku bertajuk RAHSIA CEMERLANG MATEMATIK. Ada dua bahagian. Bahagian pertama mengandungi 12 bab. Ceritanya fasal motivasi, refleksi, kesanggupan berubah. Bahagian kedua mengandungi 13 bab yang menyentuh fasal latihan pemulihan dan memantapkan kemahiran algebra.

Dalam bahagian satu, saya ceritakan bagaimana saya berubah daripada seorang pelajar dapat C4 Matematik SRP dan C6 Matematik Tamb. SPM tetapi berjaya dapat Prinsipal A Matematik STP tahun 1973. Waktu itu hanya dua orang sahaja pelajar Melayu yang dapat prinsipal A Matematik STP seluruh Malaysia. Sangat luar biasa. Cikgu saya sewaktu di sekolah menengah rendah terkejut bagaimana saya boleh jadi pandai sewaktu di menengah atas. Saya berjaya melakukan lonjakan yang besar.

Buku ini elok dibaca oleh
  • pelajar yang ingin berubah
  • guru matematik
  • ibu bapa
  • pakar motivasi

Bagaimana nak perolehinya?

  • Harga RM12 senaskah dan belanja pos laju RM3 senaskah. Jadi, jumlahnya RM15 setiap belian satu naskah.
  • Bayar guna postal order/ cek/money order atas nama TINTA ZAINAB. Sila hantar kepada alamat berikut;

Lot 104, Kampung Sentosa, 26500 Maran, Pahang.

  • Cara yg lebih mudah bayar secara on line di mesen ATM atau melalui e-klik kepada TINTA ZAINAB, no akaun 06070000239101 CIMB Bank. Seterusnya hantar e-mail kepada yahya104@gmail.com Nyatakan amaun tranksi, nombor "Ref No" atau "TRANC. NO" , nama pembeli dan alamat pembeli.
  • Buku dijamin sampai dalam tempoh 14 hari selagi stok masih ada.

Inilah cara saya untuk membantu remaja untuk mendapatkan kecemerlangan dalam Matematik. Jangan lepaskan peluang.

  1. Timba pengalaman orang yang berjaya,
  2. Lakukan perubahan
  3. Berusahalah secara konsisten

Tuesday, March 16, 2010

Saya akan sambung semula cerita Matematik

Lama saya biarkan laman ini, rupanya ada rakan yang baca. Kalau macam itu saya akan sambung semula. Buat masa ini saya banyak tumpukan usaha dalam laman baru bertajuk PENDIDIKAN PEKAN MELANGKAH MAJU.

OK nanti saya bawa cerita BUKA KLINIK DI SBP, sabar ye.

Monday, December 28, 2009

Rahsia 4

Belajar Matematik Di Tingkatan Lima


Tingkatan 5 Sains 2
Hari pertama persekolahan dihabiskan dengan kerja mencuci kelas, susun kerusi meja dan bercerita tentang pengalaman menghadapi banjir besar yang baru berlalu di tempat masing-masing. Hari itu cikgu Muslim Tanjung masuk ke kelas memperkenalkan diri. Beliau adalah guru kelas kami dan mengajar Sains bahagian Fizik. Tinggi kurus orangnya. Umurnya lebih dari 50 tahun. Sejak tahun lepas hingga kini saya perhatikan cikgu ini sentiasa pakai baju putih lengan panjang dan berseluar warna biru tua. Bukanlah sepasang itu sahaja tetapi nak ceritakan betapa cekalnya beliau mengekalkan identiti pakaiannya. Ya bagus juga begitu ada identiti yang tersendiri. Hari itu kami memilih ketua kelas. Khalid Abdullah berjaya terpilih. Sementara penolong ketua pula disandang oleh Rosnah.

Tidak faham belajar tajuk Ilmu Pelayaran
Kini cikgu Sudarjho pula mengajar Matematik dan cikgu Panggabean mengajar Matematik Tambahan. Hampir sebulan belajar Matematik tajuk Ilmu Pelayaran, habis semua tidak faham. Halaju di air dan halaju di darat tidak dapat dibezakan sampai sudah. Kami sesat dalam pelayaran. Kapal terbang hilang arah tuju dan kapal laut tidak sampai ke pelabuhan kerana kami tidak faham ilmu belayar. Saya sungguh kecewa kerana pengajaran yang sangat mengelirukan. Ditambah lagi dengan penggunaan Bahasa Indonesia pekat. Bila diadakan ujian selepas habis topik Ilmu Pelayaran semua pelajar gagal. Saya menerima pukulan KO, hanya dapat 25% sahaja. Kalau macam ini memang tidak boleh jadi, tidak boleh berpanjangan begini. Nampaknya semangat belajar budak kelas ini sangat berbeza dengan kelas saya tahun lepas. Kami semua berbincang dipengerusikan oleh Khalid. Perbincangan kami berakhir dengan satu keputusan yang berani. Kami mahu mengadu hal kepada Tuan Pengetua. Pengetua SMART II pada ketika itu ialah Encik Sufian bin Ahmad. Kami berani mengadu hal kepada Pengetua sebab beliau kelihatan riang dan mudah senyum tetapi tegas orangnya. Pengetua sentiasa melawat asrama serta dewan makan dua kali sehari. Memang tiada peluang budak-budak hendak ponteng kelas dan lepak di asrama. Ketika itu asrama bersih dan makanan pun sedap. Itulah kesan keprihatinan Tuan Pengetua kami. Wan Zahari, Suhaimi, Khalid dan saya diamanahkan untuk berjumpa dengan Pengetua. Kami berempat berbincang untuk menyusun hujah. Wan Zahari dipilih sebagai jurucakap utama. Pada ketika itu kelemahan sendiri langsung tidak nampak. Yang nampak hanyalah kelemahan pihak lain. Kami memberanikan diri masuk ke bilik Pengetua. Kami bawa semua kertas ujian. Wan Zahari adalah jurucakap utama sebab dia pandai berhujah. Dia memang ada bakat jadi peguam atau pegawai penerangan. Nampaknya Tuan Pengetua bersimpati dengan kami. Akhirnya beliau bertanya “habis awak hendak belajar dengan siapa?”. Cepat-cepat saya menjawab, “Cikgu Kamariah”.

Cikgu Kamariah penyelamat kami yang tersesat di laut.
Selang beberapa hari selepas pertemuan dengan Pengetua, kelas kami mendapat jadual baru. Memang cantik, tercatat nama Cikgu Kamariah sebagai guru Matematik. Memang kami ada dengar cerita daripada budak-budak kelas 5 sastera mengatakan seronok belajar dengan Cikgu Kamariah. Mereka kata mudah faham. Kata mereka lagi, Cikgu Kamariah akan cuba menerangkan berulang kali jika pelajar tidak faham. Ini bermakna pasti ada kelas yang akan kehilangan khidmat Cikgu Kamariah. Tentu mereka akan kecewa kerana hilangnya seorang guru yang baik. Ah, jangan hiraukan mereka. Yang penting kami telah mendapat apa yang dihajati.

Memang betul. Dua minggu sahaja Cikgu Kamariah mengajar tajuk Ilmu Pelayaran kami boleh faham. Kini saya faham apakah yang dimaksudkan halaju di air dan halaju di darat. Lepas itu beliau buat ujian topikal. Kali ini ramai yang lulus. Saya sangat seronok kerana dapat 90%. Kini kalau saya jadi nakhoda kapal tentu tidak sesat lagi. Semua kami gembira kerana percaturan mengena. Semasa kami menjawab latihan dalam kelas Cikgu Kamariah suka berjalan-jalan dan melihat kerja setiap orang. Beliau sangat pantas bergerak dan menyemak kerja kami semua. Pendek kata semasa kelas Matematik memang tiada seorang pun yang terpinggir. Yang mengkagumkan Cikgu Kamariah boleh ingat semua nama pelajar kelas kami dalam masa beberapa hari sahaja. Memang benar apa yang dikatakan oleh budak tingkatan 5 Sastera itu. Cikgu Kamariah tidak pernah marah malah mudah ketawa. Kami semua seronok dan tiada tekanan. Cikgu Kamariah sangat pantas memeriksa buku latihan kerja rumah. Kerap kali kami menerima semula buku latihan kerja rumah sebelum tamat waktu persekolahan pada hari yang sama. Saya masih ingat, cikgu sendiri yang hantar buku itu ke kelas kami. Kami beruntung mendapat seorang guru yang rajin dan hebat. Kini kami berani bertanya jika ada yang tidak faham. Saya semakin seronok belajar Matematik. Tidak hairanlah dalam peperiksaan percubaan SPM saya memperolehi 76%. Satu peningkatan yang ketara dibandingkan semasa di tingkatan empat hanya dapat 47% sahaja. Memang kami tidak akan lupakan jasa Cikgu Kamariah yang dikagumi itu. Bak kata perpatah Melayu yang berbunyi, “Harimau mati menin ggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”. Ingatan saya kepada Cikgu Mutalib, Cikgu Sabu dan Cikgu Kamariah memang tidak terhakis walau sedikit pun.

Satu hari pihak sekolah mengambil gambar kami bersama guru-guru yang mengajar kelas kami. Oleh kerana saya selalu dapat markah Matematik tertinggi dalam kelas maka sayalah yang paling berhak berdiri di belakang Cikgu Kamariah. Saya sangat berbangga kerana mendapat peluang itu.
Gambar pelajar kelas 5 Sains 2, tahun 1971 bersama guru-guru. Mereka yang duduk dari kiri ialah Khalid( Ketua kelas), Cikgu Thong, Cikgu Abdullah, Ustaz Amin, Puan Adilah, Cikgu Muslim(guru kelas), Encik Nawawi(Pengetua), Cikgu Lim, Puan Fong, Cikgu Kamariah, Cikgu Bookhari, Cikgu Pangabean dan Rosnah(Pen. Ketua Kelas).

Ramai pejuang telah gugur.
Pelajaran Matematik Tambahan (MT) lain pula ceritanya. Pengajaran guru tidak boleh difahami, sangat membingungkan. Macam dahulu juga, walau pun tak faham tetapi kami tidak berani kata tak faham kepada guru itu. Guru MT mengajar macam pensyarah mengajar penuntut universiti. Kebanyakan rakan kelas saya telah “ give up ”. Semangat ingin mencuba kebanyakan kami tidak membara. Namun saya masih belum putus asa. Walau pun sepanjang di tingkatan lima ini saya tidak pernah mendapat markah lebih daripada 40% tetapi saya tetap ingin meneruskan juga. Semasa peperiksaan percubaan SPM saya hanya berjaya memperolehi 34% sahaja.

Aku pejuang yang tidak mengaku kalah
Saya sungguh tidak selesa dengan keadaan sekarang, tapi masih belum putus asa. Selepas peperiksaan percubaan, saya lipat gandakan usaha untuk mengulangkaji MT. Saya tidak sanggup mendapat F9 bagi mata pelajaran MT dalam peperiksaan SPM nanti. Masih ada masa untuk memperbaiki kelemahan. Saya mahu berjuang hingga ke saat terakhir. Walaupun kebanyakan budak dalam kelas saya sudah hanyut. K ali ini saya memberanikan diri merujuk buku teks Elemantary Analysis yang tersimpan selama ini. Memang sebelum ini saya hanya bergantung kepada nota yang diberi oleh guru di dalam kelas. Perjuangan kali ini sangat mencabar sebab kena fahamkan bahasanya terlebih dahulu. Saya memang lemah Bahasa Inggeris. Kena terjemah dahulu satu demi satu perkataannya, lepas itu baru boleh jawab soalannya. Dalam menghadapi kesukaran MT saya selalu meminta pertolongan daripada Jamaludin dari kelas 5 Sains 1. Dialah yang paling handal MT dalam kelasnya. Kawan-kawan panggil dia Profesor tapi saya panggil dia Prof Jam. Panggilan Prof Jam nampaknya lebih menyeronokkannya. Dia senyum saja bila saya panggil nama itu. Kena main psikologi sikit bila nak dapatkan pertolongan orang. Nak tanya Prof Jam kena tengok masa yang sesuai. Kalau masa dia sedang khusyuk mentelaah jangan tegurlah kerana memang tidak dilayannya. Prof Jam memang tidak kedekut ilmu. Saya banyak mendapat pertolongannya di saat akhir ini. Saya tidak lupa mengucapkan terima kasih dan ada kalanya beri pujian atas kebolehannya. Sudah menjadi lumrah manusia memang seronok bila dipuji. Walau pun saya terus membuat ulangkaji tetapi masih banyak tajuk yang belum saya kuasai terutama Trigonometri, Janjang Geometri dan Kebarangkalian. Sewaktu peperiksaan SPM, saya hanya boleh jawab separuh sahaja daripada semua soalan yang mesti dijawab itu. Oleh itu saya ada masa untuk menyemak jawapan agar semuanya betul. Jika semua jawapan betul ini bermakna saya berpeluang memperolehi 50% atau Kepujian C6. Harap-harap begitulah.


Bila saya direnungkan kembali pengalaman belajar Matematik Tambahan saya dapati ada beberapa perkara yang menghalang;

Antara guru dan murid ada terdapat jurang komunikasi yang besar. Tidak berani menyatakan tidak faham kepada guru. Kami tidak terdorong untuk belajar.

Halangan bahasa. Tidak faham membaca buku teks Matematik Tambahan dalam Bahasa Inggeris. Mengambil masa yang lama untuk menterjemah soalan daripada buku tek itu. Potensi saya tersekat kerana halangan bahasa itu. Ruginya tidak pandai Bahasa Inggeris.

Pelajar kurang menghormati guru. Guru pula tidak berani mengambil tindakan membetulkan perangai buruk pelajar. Akibatnya pelajar yang rugi.

Kertas peperiksaan percubaan SPM – Matematik. Inilah bukti jasa besar Cikgu Kamariah. Saya berjaya memperolehi 76%.



Berjaya meningkatkan kefahaman dalam mata pelajaran Matematik. Semasa tingkatan 4 hanya dapat 47% sahaja dan kini dapat 76%. Inilah bukti jasa cikgu Kamariah. Pengajaran cikgu sangat berkesan. Saya tetap ingat jasa cikgu Kamariah. Sayang cikgu.

Kertas peperiksaan percubaan SPM – Matematik Tambahan. Hati saya sangat pedih melihat markah hanya 34%, tetapi saya tidak mahu mengaku kalah.



















Masih gagal Matematik Tambahan. Kurang faham semasa guru mengajar tetapi tidak berani hendak bertanya. Ha inilah akibatnya, tapi aku belum putus asa. Perjuangan mesti diteruskan.










Salinan Sijil Pelajaran Malaysia 1971. Sekadar memperolehi kepujian C3 mata pelajaran Matematik dan C6 mata pelajaran Matematik Tambahan. Syukur.






Syukur berjaya memperolehi kepujian Matematik dan Matematik Tambahan