Tuesday, June 30, 2009

Rahsia 03

Seksanya Belajar Matematik Dan Matematik Tambahan Tingkatan Empat

Tingkatan 4 Sains 4
Awal Januari tahun 1970, saya meneruskan pelajaran ke tingkatan empat aliran sains di Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib, Kuantan. Tingkatan empat sains ada lima kelas semuanya. Kedudukan kelas ditentukan mengikut keputusan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Saya ditempatkan di kelas 4 Sains 4. Sedih juga rasanya kerana ditempatkan di kelas ini. Apa tidaknya hanya saya seorang sahaja dari SMK Maran ditempatkan di kelas ini. Rakan-rakan saya yang lain berjaya ditempatkan di kelas 4 Sains 1, 4 Sains 2 dan 4 Sains 3. Alangkah sunyinya berada di kelas ini. Setelah saya renungkan memang patut saya diletakkan di kelas 4 sains 4. Penempatan berdasarkan pencapaian Matematik dan Sains. Saya memperolehi 25 aggriget, Matematik I dapat C4, Matematik II dapat C6 dan Sains dapat C6. Bayangkanlah ada ramai pelajar yang lebih cemerlang daripada saya. Bilangan mereka dianggarkan 100 orang. Kelas 4 Sains 1 memang terdiri daripada “top student” negeri Pahang. Hanya seorang sahaja wakil SMK Maran yang berjaya masuk ke kelas 4 Sains 1. Beliau ialah Kamarudin Taib. Dia ni memang jaguh semasa di Maran dahulu. Senarai buku teks tingkatan empat diedarkan semasa pendaftaran tersebut. Saya sangat terkejut kerana buku teks bagi mata pelajaran Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi semuanya dalam Bahasa Inggeris. Harganya pula sangat mahal. Pada waktu itu belum ada Skim Pinjaman Buku Teks. Semuanya mesti beli sendiri. Nampaknya ayah saya terpaksalah menoreh getah terlebih dahulu untuk menyediakan wang yang banyak bagi membeli buku-buku tersebut. Saya bertanya dalam hati, “Boleh ke faham baca buku-buku itu?”. Buku Matematik Tambahan bertajuk “ Elementary Analysis” karangan J.Poker dan Dakin. Seingat saya, jarang sekali saya membuka buku tersebut. Saya belajar hanya berdasarkan apa yang diberi oleh guru sahaja.

Cikgu Lim ajar Matematik dan PJ
Cikgu Lim Sim Kuey mengajar Matematik dan Pendidikan Jasmani. Seronok juga belajar dengan Cikgu Lim tetapi lebih seronok lagi belajar PJ. Masa PJ budak lelaki kelas saya bergabung dengan budak 4 Sains 3. Cikgu Lim selalu menjalankan pelbagai aktiviti memanaskan badan, pertandingan antara kumpulan dan gimnastik. Kadang kala ada juga diselitkan dengan permainan takraw, bola sepak dan ragbi. Permainan Rugbilah yang paling kerap sebab beliau adalah jurulatih ragbi sekolah kami. Masa itu SMART memang hebat dalam permainan ragbi. Cikgu Lim mesti jadi refrinya kalau tidak adalah pelajar yang bertinju sebab di kalangan kami ada yang jadi batu api. Kami semua seronok belajar PJ. Memang kami bermain bersungguh-sungguh. Selepas PJ badan kami basah kuyup. Singlet boleh diperah macam tuala basah. Cikgu Lim mampu menyampaikan pengajaran Matematik dalam Bahasa Melayu dengan baik. Pelat sedikit-sedikit itu biasalah tetapi tidak sampai mengganggu kosentrasi saya dalam memahami pengajarannya. Belajar Matematik dari Cikgu Lim ini boleh tahan juga penatnya sebab banyak kerja rumah yang diberinya. Ramai rakan saya mengeluh dan tidak siap kerja rumah. Selalu juga Cikgu Lim bengang apabila para pelajar tidak menyiapkan kerja rumah. Kalau Cikgu Lim marah nampaklah cuping telinganya menjadi merah. Yang hairannya Cikgu Lim tidak pernah pukul kami. Denda yang paling teruk ialah disuruh berdiri sahaja. Satu hari Cikgu Lim naik berang sebab hampir semua pelajar kelas saya tidak menyiapkan kerja rumah termasuklah saya. Hari itu sungguh tidak disangka, Cikgu Lim mengambil tindakan yang memeranjatkan. Buku latihan Matematik kami dilancarkan keluar tingkap. Apa lagi melayanglah buku-buku itu dari tingkat tiga ke dataran rumput betul-betul di hadapan bilik pengetua. Beberapa minit lepas itu Cikgu Lim suruh pelajar lelaki mengambil buku masing-masing. Kami terus turun untuk mengambil buku masing-masing. Saya terasa seram juga sebab terpaksa melintas bilik pengetua. Pengetua kami ini boleh tahan juga garangnya. Namanya Encik Nawawi. Kami bergerak memberanikan diri terus mengambil buku masing-masing. Tetapi nasib kami kurang baik. Belum pun kami sempat cabut lari, terus sahaja kedengaran bunyi yang nyaring, “Berhenti !” Rupa-rupanya suara itu datangnya dari bilik Tuan Pengetua. Kami semua diarah masuk ke bilik beliau. Habis buku diperiksa satu demi satu. Setelah bersoal-jawab maka kami mengaku tidak menyiapkan kerja rumah. Akhirnya setiap orang mendapat hadiah masing-masing, satu rotan seorang. Boleh tahan juga sakitnya. Maklumlah Pengetua kami ini masih gagah. Masih lasak sebab saya pernah lihat beliau main ragbi dan bola sepak berlawan dengan pasukan pelajar tingkatan enam. Agaknya kalau kena rotan tiga kali terus tidak bangun. Lepas kena rotan itu kami pun naik ke kelas. Setelah masuk ke kelas kami senyap saja. Cikgu Lim tidak tanya apa-apa pun. Saya terfikir, “ Mungkinkah ini adalah pakatan antara Cikgu Lim dan Tuan Pengetua ?” Bukan main susah hendak duduk, serba tak kena. Budak-budak perempuan mengagak sesuatu telah menimpa kami. Ada pelajar lelaki yang berbisik memberitahu budak perempuan. Lepas itu Cikgu Lim suruh budak perempuan pula mengambil buku. Mereka enggan turun dan kedengaran bunyi, “Tak nak,” berulang-ulang kali. Dalam keadaan kelam kabut itu tiba-tiba Othman Sulong berbunyi, “ Oi pergilah, tak apa-apanya.” Memang selayaknya Othman berkata begitu sebab dia adalah ketua kelas. Nampaknya mereka mengalah dan terpaksa turun mengambil buku masing-masing. Sebagaimana dijangka mereka juga menerima habuannya daripada Tuan Pengetua. Bila budak perempuan masuk kelas semuanya menutup mukanya dengan buku sambil tangan kirinya digengam macam nak bertinju saja. Ada di antaranya menangis teresak-esak. Saya meluat betul mendengar orang menangis, manja tidak bertempat. Itulah hadiah kepada yang malas. Cikgu Lim tidak dapat meneruskan pengajaranya kerana hujan tidak berhenti. Saya duduk diam sambil mengenangkan peristiwa itu. Waktu itu saya rasa sangat bernasib baik kerana bersekolah di Kuantan, jauh dari rumah, tentu berita kena rotan ini tidak akan sampai ke pengetahuan ayah.

Beberapa hari selepas itu kelas Matematik berjalan lancar. Kami sudah tidak berani tidak menyiapkan kerja rumah. Namun begitu banyak jawapan yang masih silap dan serupa. Memang baik juga Cikgu Lim buat begitu. Kalau tidak ramai yang main-main saja. Satu hari semasa perhimpunan di dewan sekolah, Tuan Pengetua ada menyentuh tentang kerja rumah. Beliau mengatakan ada kelas tertentu tidak menyiapkan kerja rumah tetapi nasib baik tidak menyebut kelas yang mana satu. Kalau tidak seluruh sekolah tahu peristiwa itu. Mana nak sorok muka. Itu pun saya rasa ada pelajar kelas lain sudah mendengar berita itu. Sebabnya semasa Tuan Pengetua menyentuh perkara tersebut ada beberapa orang pelajar dalam barisan di sebelah menoleh ke arah barisan kami. Semasa di tingkatan empat ini, belajar Matematik setakat apa yang cikgu ajar di dalam kelas dan jawab soalan latihan yang disuruh sahaja. Memang tiada inisiatif sendiri untuk menjawab soalan tambahan atau cuba mengkaji semula bila ada tajuk yang tidak difahami.

Belajar Matematik Tambahan
Kisah Matematik Tambahan ( MT ) pula. Inilah cabaran yang paling hebat. Guru yang mengajar diimport dari Indonesia. Tidak ada ke guru Malaysia yang layak? Rasanya dalam tahun itu tidak kurang tiga kali bertukar guru. Mula-mula bapak Rebo Shiswojo, lepas itu bapak Panggabean dan akhir sekali ialah bapak Wirantho. Semuanya sama sahaja. Sangat membinggungkan. Habis semua pelajar tidak faham, tetapi tiada seorang pun yang berani bertanya. Masa guru MT mengajar , ada yang tidak beri perhatian dan mengganggu kawan. Nampak sangat mereka ini tidak tahu tanggugjawab masing-masing. Belajar tidak faham tetapi tidak berani bertanya pula. Habislah lingkup. Guru MT selalu sangat sebut perkataan yang pelik. Kelas menjadi riuh rendah apabila terdengar perkataan yang pelik itu. Antara perkataan ganjil yang kami terdengar seperti “ shahwat” sebenarnya cikgu maksudkan pesawat iaitu kapal terbang. Bapak Rebo Shiswhojo menjadi serba salah apabila kami semua ketawakannya. Sepanjang satu tahun di tingkatan empat buku Elementry Analysis tidak digunakan. Saya selalu tengok guru MT bawa buku teks Indonesia. Oleh itu selalulah kami terdengar istilah yang pelik itu. Dalam masa satu tahun saya tidak pernah bertanya guru walau pun tidak faham. Bagi saya kawan-kawan kelas 4 sains 2 seperti Alwi, Fauzi dari Maran dan Razali Omar dari Chenor menjadi tempat rujukan. Saya lebih selesa bertanya mereka. Tetapi ada juga masalahnya kerana ada kalanya mereka juga tidak tahu. Dalam peperiksaan akhir tahun tingkatan empat saya lulus kedua-dua pelajaran Matematik itu. Saya mendapat 47% bagi Matematik Awalan dan 49% bagi Matematik Tambahan. Walau pun pencapaian hanya pada tahap P7, saya kira pencapaian itu OKlah. Apa tidaknya, hanya saya seorang sahaja dalam kelas 4 Sains 4 yang lulus kedua-dua pelajaran Matematik. Lebih seronok lagi saya mendapat tempat ketiga dalam kelas ini. Satu kedudukan yang tidak pernah termimpi sebelum ini.

Melompat kelas
Cikgu kata senarai nama pelajar tingkatan lima tahun hadapan dikeluarkan sebelum cuti akhir tahun. Saya sangat berharap dapat kedudukan yang lebih baik. Kami menunggu dengan penuh debaran. Pada suatu pagi ramai pelajar tingkatan empat berkerumun membaca sesuatu yang ditampalkan di papan kenyataan. Saya pun ikut serta. Rupa-rupanya mereka sedang melihat senarai nama pelajar tingkatan lima tahun hadapan. Saya lihat senarai nama tingkatan 5 Sains 1 dari awal hingga akhir namun tiada tercatat nama saya. Saya sungguh berdebar. Lepas itu saya lihat pula senarai nama pelajar tingkatan 5 Sains 2. Puas saya turuti dari awal hinggalah ketiga akhir baru nampak nama saya. Syukurlah dapat lompat dua mata tangga. Rosnah, Zaimun dan saya sahaja dari kelas 4 Sains 4 yang berjaya melompat ke kelas 5 Sains 2. Yang lain ikut nasiblah bertaburan dari kelas 5 Sains 3 hingga ke kelas 5 Sains 5. Nampaknya saya terpaksa berpisah dengan rakan-rakan sekelas dan bersaing pula dengan rakan-rakan baru. Saya dapati dalam senarai kelas 5 Sains 2 itu tercatat nama Lotfi, Arshad, Wan Zahari, Saari dan Aziz. Mereka semua itu adalah rakan baik semasa di SMK Chenor dan SMK Maran. Saya berazam hendak belajar bersungguh-sungguh lagi bila naik tingkatan lima nanti. Pastinya saingan menjadi lebih sengit lagi. Walau bagaimana pun kami semua akan bercuti panjang selama tujuh minggu terlebih dahulu.

Rumusan
Semangat bapa dalam menyekolahkan anak sangat penting. Bapa yang sedar pentingnya pelajaran akan berusaha menyediakan keperluan buku dan alat persekolahan anaknya. Bapa juga perlu mengenali guru anaknya, dapatkan maklumat tentang anak daripada gurunya.

Peranan guru sangat penting dan paling utama. Guru perlu mempraktikkan pengajaran yang boleh menimbulkan minat belajar di kalangan muridnya. Guru perlu ada cara untuk mengesan dengan cepat tahap kefahaman muridnya, misalnya memeriksa hasil kerja, menyoal dan mengadakan ujian. Gurulah sebenarnya yang mencetuskan minat belajar murid. Murid pada peringat ini belum sedar akan tanggungjawab kepentingan mencari ilmu.

Pengetua adalah perancang utama untuk mencetuskan motivasi kepada guru di sekolahnya.


Saya masih menyimpan kertas peperiksaan semasa tingkatan empat. Lihatlah nama, tajuk , markah dan tarikhnya. Pada waktu itu Matematik dipanggil Ilmu Hisab. Saya Berjaya memperolehi 47%, cukup makan sahaja.

Friday, June 26, 2009

Rahsia 02

Perjuangan Menghadapi Matematik SRP Tahun 1969

Hairan, sewaktu tingkatan satu dan dua, saya tidak ingat nama guru yang mengajar Matemaik. Cikgu lelaki atau perempuan? Puas saya cuba mengingatinya, tetapi tidak dapat puncanya. Apa maknanya ini? Saya boleh mengingati guru yang mengajar Tawarikh, Ilmu Alam, Seni Perushaan, Agama Islam, Sains dan Pendidikan Jasmani. Adakah ini sebagai tanda pengajaran yang tidak menarik hati saya? Bila merenung siapa yang mengajar Matematik sewaktu tingkatan satu hingga tiga? Saya terus teringat Cikgu Mutalib yang mengajar sewaktu tingkatan tiga.

Cikgu Mutalib
Walau pun terlalu banyak sekali peristiwa manis dan pahit yang telah saya alami di alam persekolahan tetapi saya ingin menceritakan kisah belajar Matematik bermula dari tingkatan tiga tahun 1969 di Sekolah Menengah Kebangsaan Chenor, Pahang. Guru yang mengajar Matematik ketika itu ialah Cikgu Mutalib, seorang guru muda yang baru keluar dari maktab. Cikgu Mutalib suka mengajar tajuk algebra seperti pecahan algebra, perkara rumus, pemfaktoran serta huraiannya dan ungkapan kuadratik. Seingat saya, Cikgu Mutalib sangat suka mengadakan kelas tambahan. Cikgu Mutalib tidak pernah merotan kami. Beliau sangat baik. Sebab itulah agaknya saya dan rakan-rakan yang mengambil Matematik II sangat suka mengikuti pengajarannya. Pada waktu itu saya suka belajar Matematik betul-betul kerana guru sahaja. Tidak ada sedikit pun kesedaran dalam diri untuk jadi pandai. Saya masih ingat lagi Cikgu Mutalib telah mengikut kami berkelah ke Air Terjun Teladas, Maran, Pahang. Bagus juga cikgu ikut sebab cikgu telah membawa macam-macam makanan. Saya masih ingat lagi Cikgu Mutalib naik motor vespa dan membawa banyak makanan. Kami naik kereta sapu pakcik Kasim Kampar. Untuk sampai ke air terjun itu kami terpaksa berjalan kaki pula turun naik bukit memakan masa setengah jam. Cikgu Mutalib berjalan kaki bersama kami. Apabila sampai, kami terus mandi sepuas hati. Selepas mandi kami semua membuka bekalan. Cikgu Mutalib bawa roti, peanut butter dan banyak lagi. Kami semua dapat merasa makanan yang dibawa oleh Cikgu Mutalib. Itulah kali pertama saya makan roti yang disapu dengan peanut butter. Selain itu, Cikgu Mutalib juga suka mengambil gambar. Saya masih menyimpan gambar kenangan di Air Terjun Teladas. Di dalam gambar itu kelihatan Cikgu Mutalib membongkokkan badan agar muka saya di belakangnya tidak terlindung. Kawan yang lain ialah Muhamad, Abu Hassan, Baharum, Talib dan Samah. Itulah salah satu peristiwa manis yang tidak dapat saya lupakan. Sejak peristiwa perkelahan bersama Cikgu Mutalib, saya semakin minat belajar Matematik.

Bertukar ke sekolah baru
Sungguh tidak disangka keadaan tenang tiba-tiba bergolak di SMK Chenor. Pelajar asrama putera tunjuk berang kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran sekolah yang tidak peka kepada kebajikan pelajar asrama, maka berlakulah protes. Lantaran daripada itu saya dituduh sebagai perancangnya. Pada hal saya tidak tahu menahu pun. Pada ketika itu kata-kata jujur saya tidak sedikitpun dipercayai. Saya rasa sangat derita pada waktu itu. Inilah detik sukar dalam hidup saya. Inilah nasib seorang pelajar nakal, apabila berlaku sahaja suatu perkara buruk terus sahaja dituduh dan dilanyak tanpa belas kasihan. Saya mengambil keputusan menceritakan masalah yang saya hadapi kepada ayah. Walau pun ayah saya sangat garang tetapi kali ini saya berani kerana saya di pihak yang benar. Nasib baiklah kali ini ayah percaya kepada saya lalu mengambil tindakan pantas menukarkan saya ke sekolah lain. Tanggal 20 Jun 1969 saya bertukar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Maran. Saya benar-benar ingat akan tarikh itu kerana pada waktu itu Neil Armstrong dan Michael Collins yang menaiki Apollo 11 mendarat di bulan. Saya tidak sempat memohon maaf dan mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Mutalib dan guru lain sebelum meninggalkan SMK Chenor. Hanya Tuhan sahaja yang dapat membalas jasa baik Cikgu. Jasa dan didikan penuh dedikasi Cikgu Mutalib tetap segar dalam ingatan walau pun lebih 39 tahun telah berlalu.

Guru Besar yang pandai psikologi
Selepas beberapa ketika ayah berada di bilik guru besar, saya dipanggil masuk ke biliknya. Guru besar berkulit gelap dan berbadan gempal. Wajahnya agak menggerunkan saya. Perasaan gementar hilang setelah tangan Guru Besar menepuk bahu saya sambil berkata, “ Belajar rajin-rajin ya!” Nadanya lembut. Saya menganggukkan kepala sahaja. Saya sungguh tidak menyangka kata-katanya sangat berbeza dari apa yang saya baca dari raut wajahnya. Itulah arwah cikgu Muhamad bin Ghani . Perasaan saya terubat dengan kata-kata ringkas itu. Itulah kesan psikologi positif yang paling besar yang pernah saya alami sewaktu remaja. Sejurus kemudian datang seorang guru lelaki tinggi lampai, bercermin mata masuk ke bilik pengetua. Cikgu itu mengajak saya keluar, terus ke satu sudut di ruang pejabat. Cikgu itu beri saya kertas soalan Matematik untuk dijawab dalam masa 30 minit. Selepas tamat tempoh masa yang ditetapkan, kertas jawapan diambilnya. Selang beberapa minit kemudian cikgu itu berkata, “ Tahniah, saya lantik awak jadi fasilitator.” Pertama kali saya mendengar perkataan itu. Saya tidak faham tetapi segan untuk bertanya. Namun begitu, saya sangat seronok kerana mendapat pujian. Kata-kata pengetua dan guru Matematik itu telah memberi semangat dan kekuatan untuk saya meneruskan pengajian di sekolah ini. Saya ditempatkan di Tingkatan 3B. Pada waktu itu tingkatan 3 hanya ada 2 kelas sahaja iaitu Tingkatan 3A dan 3B. Cikgu Matematik itu yang membawa saya ke Tingkatan 3B. Semasa cikgu Matematik itu sedang bercakap-cakap dengan guru yang sedang mengajar di kelas itu mata saya terpandang satu meja dan kerusi di sudut sebelah belakang tidak berpenghuni. Saya mengagak di situlah tempat duduk saya. Jelas kelihatan di sebelah kiri meja itu ada seorang budak perempuan, kulitnya gelap, badannya berisi dan tingginya lebih kurang sama dengan saya. Tepat sekali sangkaan saya kerana guru yang sedang mengajar itu menyuruh saya duduk di tempat yang tidak bertuan itu. Dalam hati saya bertanya mengapakah saya diletakkan bersebelahan dengan dia ni? Apa boleh buat baru masuk gelanggang orang, ikut sajalah. Masa mula-mula duduk di situ saya nampak banyak mata menoleh ke arah saya. Saya cukup rimas. Yang lelaki pandang macam nak makan orang aja tapi yang perempuan itu tak dapat nak baca fikirannya. Bila guru yang mengajar itu keluar terus saja budak perempuan di sebelah itu berkata, “ Yahya kita kawan ya!” Tersentak saya mendengar kata-kata itu. Perasaan menyampah semakin meluap-luap. Saya tiada pilihan melainkan menganggukkan kepala sahaja. Saya cuba mendiamkan diri seberapa lama yang saya boleh sehingga guru yang lain masuk. Rupa-rupanya saya gagal sebab saya menoleh ke kiri terus bertanyakan nama budak yang duduk di sebelah itu. Terus sahaja dia menjawab, “Saroja.” Kini sahlah dia budak keturunan India. Nampaknya saya dapat kenalan baru dari kaum lain. Ini adalah pengalaman pertama bercakap dengan budak India. Lepas itu kami berbual rancak. Saya bertanya Saroja siapa nama guru Matematik itu? Nama guru itu ialah Cikgu Sabuddin, budak-budak panggil dia Cikgu Sabu sahaja. Kata Saroja, Cikgu Sabu sangat garang orangnya.

Cikgu Sabudin
Di sebelah petang saya dan sembilan orang lagi pelajar Tingkatan 3A diminta datang ke sekolah. Cikgu Sabu menerangkan rancangan kelas bimbingan rakan sebaya itu. Saya dan sembilan orang lagi adalah fasilitatornya. Petang itu juga cikgu beri soalan latihan Matematik. Pada hari pertama saya bertukar ke sekolah ini, terus mendapat tanggungjawab baru yang sangat asing. Rupa-rupanya hari itu adalah hari pertama program “Pembimbing Rakan Sebaya”. Kami diminta menjawab semua soalan. Mana-mana soalan yang sukar dibincangkan terus. Soalan itu akan dijawab pula oleh pelajar lain di sebelah malam. Akhir sekali Cikgu Sabu menyenaraikan nama pelajar-pelajar yang telah disusun mengikut kumpulan. Ada 10 kumpulan semuanya. Setiap kumpulan ada enam orang pelajar dan seorang fasilitator. Saya membimbing kumpulan yang paling bawah sekali. Program PRS Matematik dijalankan dua kali seminggu, di sebelah malam. Kebanyakan pelajar tinggal di asrama. Saya dan beberapa orang tinggal di luar tetapi rumah kami semua dekat dengan sekolah. Saya seronok belajar Matematik di bilik darjah. Cikgu Sabu sangat tegas. Tiada pelajar yang bermain-main semasa pengajarannya. Lebih seronok lagi apabila saya dapat peluang menerangkan kepada rakan-rakan semasa program PRS dijalankan. Semasa di sekolah lama saya dicap sebagai orang yang tidak berguna dan menyusahkan tetapi di sekolah baru saya menjadi orang yang berguna. Saya seronok kerana Cikgu Sabu berjaya mengesan kebolehan saya. Dalam pada itu rupa-rupanya ada seorang budak lelaki Tingkatan 3B yang tidak senang dengan kehadiran saya di kelas itu. Suatu hari S telah memberi amaran kepada saya,“Yahya awak jangan nak tunjuk lagak ya, orang baru sedarlah sikit.” Terkejut saya dengan kata-katanya itu. Badan S kecil sahaja tapi lagaknya macam samseng. Ikutkan hati saya hendak belasah sahaja, tetapi saya terpaksa simpan saja perasaan itu. Saya sadar ayah bersusah payah menukarkan saya ke sekolah ini. Kali ini saya kena bersabar. Saya tahu mengapa S berani mengambil tindakan itu. S ialah kaki mengorat di dalam kelas. Saya nampak dia selalu berborak dengan budak perempuan yang berdahi licin itu. Sejak kehadiran saya, ramailah budak perempuan termasuklah yang dahi licin itu datang bertanya saya tentang masalah Matematik. Itulah yang menyebabkan S naik bengang. Masa berjalan begitu pantas. Saya seronok belajar di SMK Maran. Guru Besar dan guru-guru semuanya baik. Akhirnya saya dan S pun sudah boleh berbual-bual dan bergurau. Saroja pula menjadi tempat rujukan saya bila ada masalah Bahasa Inggeris. Dia pula merujuk kepada saya bila ada masalah Matematik. Bila keputusan SRP diumumkan, ternyata SMK Maran muncul antara sekolah luar bandar yang cemerlang di negeri Pahang. Lebih daripada 70% pelajar berjaya lulus SRP. Ini bermakna kami akan menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib, Kuantan. Saya berjaya memperolehi 25 aggriget. Matematik I dapat B4, Matematik II dapat C6 dan Sains II dapat C6. Seramai 12 orang pelajar termasuk saya ditawarkan naik ke tingkatan 4 sains. Saya sangat gembira mendapat pencapaian Matematik sebegitu. Terima kasih Cikgu Mutalib dan Cikgu Sabu. Tanpa kegigihan mereka tidak mungkin saya boleh dapat keputusan yang memberansangkan itu.


Sikap guru Matematik saya;
1. Suka kepada pelajarnya walau pun ada yang nakal dan lemah dalam pelajaran.
2. Suka mengadakan kelas tambahan.
3. Mengadakan program rakan sebaya.
4. Mengenali pelajar yang pandai, memberi pengiktirafan dan beri tugas menjadi pembimbing rakan sebaya.
5. Tegas.
6. Rajin.

Sikap dan kebolehan saya ;
1. Suka belajar kerana sukakan guru.
2. Suka mengikuti program jika persediaan rapi dan nampak berfaedah.
3. Ada kemahiran asas Matematik mudah memahami apa yang diajar oleh guru.
4. Gembira dilantik sebagai fasilitator dan suka membantu kawan.

Rumusan
Di peringkat ini, kebanyakan pelajar hanya suka belajar kerana sukakan gurunya. Motivasi terbetuk dari luar. Semangat untuk berusaha sendiri masih belum wujud. Di peringkat menengah rendah boleh dikatakan guru adalah segala-galanya.

Jumpa lagi dalam Rahsia03 yang akan menyusul.

Wednesday, June 24, 2009

Rahsia 01

Belajar Matematik di Sekolah Kebangsaan Pesagi, Chenor tahun 1961 hingga 1966

Saya ialah anak yang kedua dalam keluarga. Saya selalu melihat buku Abang Long apabila dia pulang dari sekolah. Saya belajar dari Abang Long sifir dua dan tiga sebelum masuk darjah satu. Saya belajar secara mengingat sahaja. Emak ada juga mengajar menulis nombor 1 hingga 10. Banyaklah kesan conteng di dinding rumah nenek di kampung. Apabila melangkah ke darjah satu pada tahun 1961, pengetahuan saya dalam kira-kira telah ada sedikit.

Saya sangat seronok bila pergi ke sekolah. Tiap-tiap pagi kami berjalan kaki dari Kampung Lompat ke Sekolah Kebangsaan Pesagi, Chenor. Kami berjalan kaki turun naik bukit sejauh tiga kilometer. Itu adalah latihan jasmani yang sangat baik. Guru kelas darjah satu ialah Cikgu Samsiah. Saya memang tidak dapat melupakan jasa Cikgu Samsiah. Pertamanya Cikgu Samsiah sangat baik. Saya rasa beliau adalah ganti emak semasa di sekolah. Mula-mula masuk sekolah, Cikgu periksa kuku dan rambut. Cikgu terpaksa menyikat dan mengikat rambut beberapa orang murid perempuan. Saya nampak Cikgu menggunakan sikat bilah menyikat rambut budak perempuan kerana kepala beberapa orang budak perempuan ada kutu. Saya nampak kutu jatuh ke lantai. Ada yang merening kekenyangan. Kutu itu merayap di atas lantai. Cikgu menyuruh budak lelaki mengutip kutu yang merayap itu dan menindasnya di luar kelas. Apa lagi, kami berebut-rebut menangkap kutu itu. Cikgu menyuruh kami membunuhnya. Saya tidak mahu menindas kutu itu, sebaliknya menghentak menggunakan batu. Selepas itu, Cikgu menyapu minyak dan mengikat rambut hingga nampak kemas. Rambut yang panjang diikat tocang. Selepas itu cikgu bertanya, “Siapa yang membunuh kutu paling banyak?”. Saya mengangkat tangan, “Tiga cikgu”. Lepas itu Jama pula mengangkat tangan, “Empat cikgu”. Tapar pula menyampuk, “Saya empat juga”. Wah hebatnya cikgu Samsiah mengajar kami membilang secara suka-suka sahaja.

Kami dikehendaki membawa biji getah untuk aktiviti mengira. Cikgu menyuruh kami melonggokkan buah getah dalam beberapa buah pinggan kertas. Setiap pinggan mesti diisi buah getah sama banyak bilangannya. Saya mulai faham kiraan darab. Selepas faham konsep darab barulah saya berjaya menghafal sifir dua hingga 12. Jika saya tidak berjaya mengingatinya, saya akan cuba bayangkan bilangan pinggan dan biji getah. Misalnya 4x7. Ini bermakna ada 4 pinggan, setiap pinggan ada 7 buah getah. Selepas itu saya menambah 7+7, hasilnya 14. Selepas itu 14+7, hasilnya 21. Akhir sekali 21+7, hasilnya 28. Selepas itu cikgu sentiasa meminta kami menghafal sifir tiap-tiap hari. Saya berjaya menghafal sifir dua hingga 12 sewaktu darjah satu.

Sewaktu darjah tiga, empat dan enam, Cikgu Ishak Siwok mengajar Matematik. Sewaktu darjah lima, Cikgu Ghani mengajar Matematik. Saya belajar mengira waktu. Saya belajar mengira berat dalam kati dan tahil serta pound dan aounce. Saya belajar mengira jarak dalam inci, kaki, ela dan batu. Cikgu Ishak dan Cikgu Ghani juga mengajar kira pecahan, perpuluhan dan angka hingga ratus ribu. Cikgu juga mengajar kira-kira sudut segitiga dan segiempat. Saya masih ingat lagi dua peristiwa. Yang pertama, Cikgu Ishak selalu buat congak pada waktu akhir. Cikgu mengemukakan soalan, siapa yang mahu menjawab dikehendaki mengangkat tangan. Jika berjaya menjawab betul, ganjarannya boleh baik. Saya selalu berjaya keluar awal tetapi tidak terus pulang. Sebaliknya saya mengintai ke dalam kelas melalui tingkap. Saya mahu melihat siapa yang keluar akhir sekali. Saya mendengar berpuluh-puluh kali Cikgu Ishak mengemukakan soalan. Ada kalanya tiada siapa yang dapat menjawab. Saya berasa geram, mahu menjerit memberi jawapan tetapi tidak sampai hati.

Saya masih ingat, sewaktu darjah enam, Cikgu Ishak menulis soalan Ilmu Hisab di papan hijau condong. Saya menyalin soalan dan terus menjawabnya. Apabila siap, serahkan buku kepada Cikgu. Cikgu terus memberi tanda √ atau x . Saya mendapat banyak tanda √ dan tertulis perkataan “Baik”. Bagi jawapan yang salah, cikgu suruh buat pembetulan ketika itu juga. Ada kalanya saya terpaksa menjawab beberapa kali untuk mendapat tanda √.

Bila direnungkan kembali, saya sangat beruntung dapat belajar daripada guru yang dedikasi.

Friday, June 12, 2009

Prakata

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Saya ada pengalaman manis lagi berharga yang mahu dikongsikan. Sejak di alam persekolahan hingga kini, saya dapati ramai pelajar yang lemah dalam mata pelajaran Matematik. Ada juga pelajar yang meminati Matematik tetapi tidak pernah mencapai kejayaan yang diharapkan. Ada pelajar yang terus takut untuk mencuba kerana digambarkan bahawa Matematik itu susah. Mereka mendapat gambaran ngeri daripada pejuang yang tewas.

Saya ingin menjawab semua masalah dan ketakutan itu melalui cerita RAHSIA CEMERLANG MATEMATIK. Cerita yang saya paparkan ini adalah kisah benar yang saya telah alami sewaku di alam persekolahan dahulu. Walaupun lebih 36 tahun telah berlalu tetapi masih segar dalam ingatan saya. Pada mulanya prestasi saya dalam mata pelajaran Matematik hanya pada tahap biasa sahaja. Sewaktu menunggu keputusan peperiksaan SPM, saya mendengar satu temuramah radio dengan seorang pelajar sekolah asrama penuh yang mendapat keputusan cemerlang dalam mata pelajaran Matematik. Beliau menerangkan kaedah belajar Matematik sehingga berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang. Sejak itu saya jadikan pelajar itu idola saya. Saya cuba ikuti apa yang telah dilakukannya. Rupanya saya juga berjaya mengecap kecemerlangan itu setelah meniru kaedah beliau melepasi cabaran. Saya telah berjaya melepasi satu cabaran besar. Saya bukanlah seorang yang pandai tetapi saya berjaya mengubah sikap serta mengubah kaedah belajar Matematik. Saya bersyukur kerana diberi kekuatan itu.

Saya menyimpulkan bahawa perubahan ke arah sesuatu kecemerlangan itu mestilah bermula daripada perubahan sikap kita sendiri. Saya tidak berniat angkat bakul tetapi mahu berkongsi pengalaman dengan pembaca semua. Gunakanlah pengalaman orang yang menang. Insyallah anda juga akan mengecapi kecemerlangan.

Selamat membaca.

Yahya bin Zainal Abidin
104, Kampung Sentosa, Maran, Pahang
21 J’awal 1430 Hijrah / 16 Mei 2009